Page 122 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 122

PERBINCANGAN

                      Pada dasarnya, sains di peringkat prasekolah yang sebenar bermula dengan sifat ingin tahu
               kanak-kanak  yang  membawa  kepada  penerokaan  dan  penemuan  (NRC  2012  dalam  Syariza,
               2017). Kanak-kanak akan cenderung untuk mengetahui fakta berkaitan fenomena alam semula
               jadi, cuaca, haiwan, proses tumbesaran, manusia dan benda di persekitarannya. Setiap tingkah
               laku mereka adalah suatu proses eksperimen yang berlaku secara spontan setiap hari (Shariza,
               2017). Apabila berlaku sesuatu kejadian dan situasi, maka akan timbul beberapa persoalan dalam
               diri mereka mengapa dan bagaimana ia boleh berlaku. Tingkah laku tersebut didefiniskan sebagai
               suatu proses siasatan saintifik. Menurut Worth (2010), pengalaman tersebut juga menggalakkan
               kanak-kanak  meningkatkan  kemahiran  berfikir,  menyoal,  menyelesaikan  masalah,  membuat
               rumusan dan membina pengetahuan yang berasaskan pengalaman saintifik.
                      Di  samping  itu,  pada  peringkat  prasekolah  kanak-kanak  mempunyai  kemampuan  dan
               kecenderungan untuk memerhati dan meneroka dunia di persekitaran mereka (NRC 2012). Ini
               adalah kebolehan asas untuk  pembelajaran Sains  Awal  yang boleh dan  harus digalakkan dan
               disokong dalam kalangan kanak-kanak dan sesuai dengan pelaksanaan PdP STEM yang akan
               dilaksanakan oleh guru di prasekolah. Pembelajaran Sains Awal dan amalan kejuruteraan pada
               peringkat awal persekolahan dapat memupuk rasa ingin tahu dan keseronokan kanak-kanak dalam
               meneroka  dunia  di  sekeliling  mereka  (National  Science  Teachers  Association  dalam  Syariza,
               2015).
                      Pelaksanaan PdP STEM di peringkat awal pendidikan (prasekolah) amat berkait dengan
               teori pembelajaran konstruktivisme. Pelaksanaan PdP STEM amat menepati prinsip-prinsip yang
               dibawa  oleh  teori  tersebut.  Menurut  teori  konstruktivisme,  proses  pembelajaran  yang  berlaku
               adalah proses sesuatu aktiviti yang aktif apabila murid belajar dan mendapat input yang baharu
               semasa  proses  pembelajaran  berlangsung  (Arends,  1997  dalam  Azizah,  2006).  Aktiviti  yang
               dijalankan melibatkan perkembangan minda, pergerakan fizikal dan pengalaman sedia ada. Guru
               pula bertindak sebagai fasilitator dalam setiap proses PdP yang dijalankan.
                      Jean  Piaget  merupakan  salah  seorang  pelopor  konstruktivisme  menyarankan  bahawa
               kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan melakukan aktiviti secara  hands-on, penyediaan
               persekitaran  yang  menarik  dan  merangsang  pembelajaran  adalah  penting.  Persekitaran  yang
               kondusif adalah penting untuk membolehkan kanak-kanak mencipta pengetahuan secara tidak
               langsung.  Bagi  melaksanakan  PdP  STEM,  penggunaan  makmal,  bengkel  dan  teknologi  yang
               interaktif  sangat  berguna  bagi  menggalakkan  perkembangan  kreatif  kanak-kanak.  Sebaliknya,
               Piaget menolak penghafalan maklumat dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi. Pandangan ini
               disokong oleh Worth (2016) dalam jurnalnya “Science in Early Childhood Classrooms: Content
               and  Process”,  kefahaman  konsep  asas  serta  penguasaan  kemahiran  proses  sains  diperolehi
               melalui  interaksi  dan  penglibatan  kanak-kanak  dalam  aktiviti-aktiviti  seperti  bermain  dengan
               alatan, blok, air dan pasir serta bahan-bahan manipulatif dan aktiviti-aktiviti seperti lakonan dan
               bercerita.  Ramai  pakar  pendidikan  psikologi  menganggap  teori  perkembangan  Piaget  sebagai
               hampir sempurna kepada sistem perkembangan kognitif manusia. Banyak pandangannya yang
               bersangkut paut dengan pemprosesan maklumat di dalam otak manusia.
                      Melalui model pemprosesan maklumat Piaget menjelaskan bahawa penerimaan maklumat
               bergantung pada pemprosesan dan penterjemahan data sensori dan menukar data ke dalam bentuk
               yang boleh disimpan dan diguna semula apabila diperlukan. Dengan mempelajari bagaimana otak
               manusia  memproses  maklumat,  kita  dapat  melihat  dan  mengkaji  bagaimana  manusia  mampu
               berfikir,  berpersepsi,  menterjemah  dan  mempercayai.  Jean  Piaget  memandang  kecerdikan  itu



                                                             112
   117   118   119   120   121   122   123   124   125   126   127