Page 121 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 121
STEM bagi menyelesaikan masalah dalam konteks kehidupan harian, masyarakat dan alam
sekitar.
Kerangka konsep ini menjelaskan peranan guru sebagai individu yang penting dalam
mencetus minda dan inspirasi murid yang bertujuan memotivasikan murid terhadap PdP yang
dirancang. Perkara tersebut meliputi peranan guru yang seharusnya menyediakan bahan yang
mampu menarik perhatian murid seperti tayangan video yang ringkas tetapi menakjubkan.
Peranan kedua ialah guru seharusnya menggalakkan aplikasi PdP STEM yang kreatif dan kritis
iaitu merancang aktiviti yang akan memberi peluangkepada murid mengaplikasi dan
mengintegrasi pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM dengan betul dan mendalam. Guru
selanjutnya harus membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dengan menyediakan
soalan-saoalan yang mencabar untuk murid berfikir dari aras rendah kepada aras yang lebih tinggi.
Di samping itu, guru juga berperanan sebagai pembimbing untuk menggalakkan murid mencari
maklumat dari pelbagai sumber dengan guru perlu menyediakan media atau bahan sumber yang
mencukupi untuk murid mendapatkan data dengan berkesan. Guru juga berperanan menyediakan
soalan-saoalan atau rubrik yang membolehkan murid mentafsir dan menilai data dengan baik bagi
menggalakkan murid menyoal. Selain itu, guru berperanan membimbing murid untuk menilai dan
memberi maklum balas secara berhemah. Peranan guru juga dilihat perlu membimbing murid
untuk memberi komen dan cadangan yang membina bagi menghasilkan sesuatu produk yang
baharu. Akhirnya guru seharusnya mampu mengarahkan murid membentuk kumpulan yang sesuai
mengikut keperluan dalam melaksanakan PdP STEM di prasekolah.
Selanjutnya, guru harus memastikan bahawa perancangan aktiviti yang akan dilaksanakan
melibatkan ketiga-tiga elemen pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM yang akan diperoleh
murid di sepanjang proses PdP. Pengetahuan STEM meliputi idea, konsep dan prinsip serta
pemahaman murid terhadap STEM. Pemerolehan pengetahuan yang berterusan penting bagi
memastikan murid menguasai STEM di peringkat awal pendidikan. Menurut KPM (2016)
pemerolehan pengetahuan STEM yang progresif dan dinamik adalah penting supaya murid
sentiasa mendapat pengetahuan dan kemahiran terkini dalam bidang STEM. Kemahiran STEM
pula merujuk kepada kemahiran proses dan kemahiran teknikal yang melibatkan kepada
kecekapan dan kompetensi murid semasa meneroka untuk menyelesaikan masalah serta yang
melibatkan psikomotor dan manipulative. Begitu juga dengan elemen kemahiran dan nilai STEM
yang akan diperoleh murid di sepanjang PdP STEM berlangsung. Sebagai contoh nilai yang
diharapkan adalah seperti sistematik, objektif, tekal, tabah dan boleh bekerjasama dalam
menyelesaikan masalah yang diberikan (KPM, 2016).
Seterusnya, guru melaksanakan PdP STEM yang berasaskan kepada penyelesaian
masalah dalam konteks kehidupan harian, masyarakat dan alam sekitar tempatan serta global
secara berterusan akan membawa kepada murid yang berbudaya STEM bermula dari peringkat
prasekolah lagi. Sebagai contoh, isu yang berkaitan dengan masalah kucing yang tiada tempat
tinggal merupakan isu yang boleh diselesaikan oleh murid prasekolah dengan membina rumah
kucing tersebut. Pendekatan seperti ini sekirannya dijalankan secara berterusan akan membawa
ke arah pembudayaan amalan STEM dalam kalangan murid (KPM, 2016).
111

