Page 90 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 90

Kompetensi Pedagogi Guru Dan Prestasi Akademik Di Sekolah-Sekolah

                                                  Berprestasi Rendah

                                                      1
                                                                                          2
                                Losius Goliong, PhD , Mohd Khairuddin Abdullah, PhD
                                                                      3
                                                     Rosy Talin, PhD
                                 1 Pejabat Pendidikan Daerah Ranau,   Universiti Malaysia Sabah
                                                                 2,3
                                                               2
                                          1 losius21@gmail.com ;  khair@ums.edu.my
                                                    3 rostalin@gmail.com

                                                              Abstrak

               Kajian  ini  dijalankan  untuk  mengenal  pasti  hubungan  kompetensi  pedagogi  guru  terhadap
               prestasi akademik sekolah dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Data-data diperoleh
               dengan mengedarkan borang soal selidik yang diadaptasi daripada Standard Kualiti Pendidikan
               Malaysia 2010 versi 2013 kepada 335 responden dalam kalangan guru-guru di 47 buah sekolah
               berprestasi  rendah  (SPR)  di  Bahagian  Barat  dan  Utara  Negeri  Sabah.  Sekolah  yang
               dikategorikan sebagai SPR ialah sekolah yang berada di Band 5, 6 dan 7, serta Gred Purata
               Sekolah (GPS) berada pada tahap 3.00 ke atas. Data dianalisis menggunakan SPSS Versi 21.
               Keputusan analisis menunjukkan tahap kompetensi pedagogi guru (m=4.11, sp=.51) pada tahap
               tinggi.  Dapatan  kajian  menunjukkan  terdapat  hubungan  signifikan  yang  sangat  kuat  antara
               kompetensi  pedagogi  (r=.883,  p=.000)  dengan  prestasi  akademik.  Oleh  itu,  kajian  ini
               mencadangkan  agar  guru-guru  memantapkan  lagi  tahap  kompetensi  pedagogi  supaya  dapat
               berfungsi dengan lebih efisien dalam menyalurkan pengetahuan dan kemahiran kepada murid-
               murid.

               Kata kunci: kompetensi, pedagogi, prestasi akademik, berprestasi rendah


                                                     PENGENALAN

                      Guru  adalah  golongan  yang  terlibat  secara  langsung  melaksanakan  pengajaran  yang
               berkualiti bagi memastikan hasil pembelajaran maksima diperoleh oleh murid. Oleh itu, guru perlu
               lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan suasana pembelajaran menjadi lebih menarik, efektif
               serta dapat merangsang minat murid untuk belajar. Menurut Aziah Ismail, et. al. (2006) guru
               merupakan agen pembelajaran yang berfungsi untuk meningkatkan prestasi akademik. Dalam hal
               ini, adalah penting bagi guru-guru mempunyai kompetensi pedagogi yang sentiasa releven dengan
               persekitaran pendidikan semasa supaya dapat melaksanakan fungsinya dengan berkesan dalam
               menyalurkan pengetahuan dan kemahiran kepada murid-murid.
                      Selaras  dengan  pengenalan  konsep  pembelajaran  abad  ke  21  (PAK21),  transformasi
               pendekatan pengajaran guru perlu beranjak daripada kaedah pengajaran konvensional berpusatkan
               guru kepada kaedah yang lebih dinamik dan kreatif yang lebih berpusatkan murid. Inisiatif PAK21
               secara rintis diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun 2014 dan
               meluaskan  perlaksanaan  ke  seluruh  negara  mulai  tahun  2015  sejajar  dengan  usaha  KPM
               melaksanakan  transformasi  pendidikan  melalui  Pelan  Pembangunan  Pendidikan  Malaysia
               (PPPM) 2013-2025 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Berdasarkan inisiatif PAK 21,
               diperkenalkan elemen-elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kerativiti serta nilai dan
               etika  yang  perlu  diterapkan  dalam  aktiviti  pembelajaran  dan  pemudahcaraan  (PDPc).  Dalam

                                                             80
   85   86   87   88   89   90   91   92   93   94   95