Page 91 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 91
konteks kompetensi pedagogi, guru-guru perlu bersedia menggalas tanggungjawab, menerima
serta mengurus perubahan dalam transformasi pendidikan dan memastikan aktiviti PDPc yang
disediakan mampu memenuhi keperluan murid masa kini.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Kompetensi pedagogi guru dalam konteks PDPc akan mempermudahkan aktiviti
pembelajaran yang sistematik dan menarik. Malah, kemahiran mengajar merupakan perkara
penting dalam kompenan keperluan seseorang guru. Sehubungan dengan itu, Mok Soon Sang
(2003) menyatakan bahawa guru yang kompeten dalam pedagogi mempunyai pengetahuan
menyampaikan isi pengajaran secara sistematik. Elemen pengetahuan guru dalam konteks ini
adalah merujuk kepada kebolehan guru dalam mengguna dan mengembangkan buah fikirannya
dengan baik, sistematik, efektif, kreatif dan inovatif. Malahan guru tersebut berupaya
menerangkan sesuatu konsep dengan jelas dan mudah difahami oleh murid dengan menggunakan
bahan bantu mengajar (BBM) yang sesuai dan menarik.
Kompetensi merupakan suatu kebolehan untuk melakukan sesuatu bagi mencapai hasrat
yang diinginkan (Tjok dan Worth, 1995). Menurut Burgoyne (1989), kompetensi adalah
kebolehan dan kesediaan untuk melaksanakan tugas tetapi adakalanya kompetensi tersebut
berlaku setelah beberapa motivasi diberikan ke atas individu tersebut. Boyatzis (2011)
mentakrifkan kompetensi sebagai satu set tingkah laku yang diperlukan oleh seseorang untuk
berfungsi dengan baik dalam menjalankan tugasnya. Sesuai dengan ketiga-tiga definisi di atas,
Paul Suparno (2006) mendefinisikan kompetensi sebagai penguasaan tugas, kemahiran, sikap, dan
penghargaan yang perlu bagi mencapai sesuatu kejayaan. Kesimpulan daripada beberapa pendapat
di atas, kompetensi merupakan kebolehan seseorang menjalankan tugas dan tanggungjawab yang
diamanahkan dengan baik, cekap dan berkesan.
Terdapat pelbagai definisi yang diberikan oleh ahli-ahli akademik terhadap pedagogi. Page
(1975) menerangkan bahawa pedagogi adalah seni dan sains pengajaran. Pendapat Page (1975)
ini disokong oleh Cruickhank (1995) yang menyatakan pedagogi ialah seni dan sains pengajaran
yang meliputi prinsip, strategi, kaedah, teknik, dan pelbagai pertimbangan dalam memastikan
pengajaran berjaya. Sharifah Alwiyah (1976) menyatakan pedagogi merupakan ilmu yang
menerangkan tentang kaedah pengajaran. Slavin (1997) pula berpendapat pedagogi merupakan
suatu medium untuk menghubung antara apa yang guru mahu murid belajar dengan pembelajaran
sebenar yang muridnya akan peroleh. Manakala, Sylva, et. al. (2011) menyatakan pedagogi
merupakan kaedah pengajaran yang melibatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan sesuatu
disiplin ilmu.
Dalam konteks kompetensi pedagogi, kreativiti guru dituntut seawal merancang
pengajarannya untuk menyediakan PDPc yang menarik dan sesuai dengan keupayaan dan
kebolehan murid. Konsep pembelajaran abad ke 21 (PAK21) perlu diberi penekanan yang mana
melibatkan murid secara aktif dalam aktiviti pembelajaran. Penekanan elemen-elemen
komunikasi, kolaboratif, kreativiti, kemahiran berfikir secara kritis serta nilai dan etika (4K1N)
dalam PAK21 secara langsung membantu guru melaksanakan pembelajaran yang berpusatkan
murid. Aspek-aspek yang dibincangkan di atas menuntut kompetensi pedagogi yang tinggi dalam
kalangan guru bagi membolehkannya menyampaikan pembelajaran yang bermakna kepada
murid-murid. Menurut Goodwin dan Stevens (1993) murid-murid yang berkualiti dihasilkan
menerusi proses pembelajaran yang berkesan.
Guru yang kompeten pegadoginya dapat mengendalikan aktiviti pembelajaran dengan
berkesan. Secara khususnya, Gage & Berliner (1991) dan Hamachek (1995) telah memberi
81

