Page 158 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 158
pelbagai teknik dan kaedah. Guru -guru perlu sentiasa merujuk kepada Buku Panduan
Pentaksiran Bilik Darjah yang dikeluarkan oleh BPK (KPM 2019g) dalam usaha untuk
menambahkan pengetahuan tentang pentaksiran bilik darjah termasuk tujuan, masa
pelaksanaan, teknik melaksanakan, membuat pemerhatian, mengumpul, merekod, mentafsir
dan menggunakan maklumat pentaksiran dalam bilik darjah untuk menilai P&P secara
berterusan.
Dapatan menunjukan aspek kesediaan prasarana perlu diberikan perhatian. Untuk
memastikan kejayaan pelaksanaan Panduan PdP PIKAP, aspek prasarana perlu dilihat dengan
lebih mendalam. Bantuan untuk penambahbaikan prasarana di semua sekolah terlibat perlu
diambil kira. Kemudahan infrastruktur dan prasarana asas ada disediakan perkampungan orang
asli ini namun, tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Orang Asli (Saleh & Ahmad,
2009). Hal ini disebabkan lokasi atau kedudukan penempatan yang jauh ke pendalaman.
Menurut Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli 2016-2020 peratus Orang Asli
yang tinggal di pinggir kampong adalah 63.2% manakala 36.1 % adalah di pendalaman.
Kedudukan yang jauh terpencil di pedalaman menyebabkan mereka jauh daripada menikmati
kemudahan awam seperti pengangkutan awam, perpustakaan, alat perhubungan, iaitu jalan
raya dan alat komunikasi (Mohamad Johdi & Abdul Razak, 2009). Walau bagaimana pun,
pengangkutan ke sekolah bagi anak-anak Orang Asli telah disediakan namun operasi
perkhidmatan pengangkutan yang disediakan masih kurang memuaskan dari segi kualiti,
bilangan dan perkhidmatan. Dari segi jarak, secara purata pelajar, Orang Asli terpaksa
melakukan perjalanan melebihi 15 km dengan trip yang mengambil masa melebihi 45 minit
(Marzuki et al., 2014). Untuk memastikan prasana dipertingkatkan, kekangan sebegini
memerlukan kerjasama semua pihak baik daripada kerajaan atau agensi-agensi swasta.
Masalah kesediaan prasarana terutamanya aksesibiliti perlu ditambah baik dan
diperbaiki bagi memastikan perjalanan murid Orang Asli ke sekolah lebih selesa. Kedudukan
geografi yang terletak jauh di pedalaman telah mengukuhkan pemikiran dalam kalangan ibu
bapa murid Orang Asli dan Peribumi ini bahawa tiada faedah untuk menghantar anak ke
sekolah (Abdul Razaq & Zalizan, 2009; Wahab et al., 2017). Perkhidmatan bas sekolah perlu
diperbanyakkan dan disesuaikan dengan bilangan murid dan jarak perjalanan ke sekolah.
Selain daripada itu, bagi lokasi di mana bilangan murid yang kurang, kemudahan trak yang
sedia ada perlu diperbaiki dan tidak digunakan untuk tujuan lain. Khaskan penggunaan trak
tersebut hanya untuk perjalanan pergi balik ke sekolah, ini akan mengurangkan kerosakan dan
kos membaiki.
Selain dari itu, masalah aksesibiliti dapat dikurangkan dengan penyediaan asrama di
sekolah atau berhampiran dengan sekolah. Walaupun asrama telah disediakan di sekolah
tertentu, namun bilangan perlu ditambah sejajar dengan peningkatan enrolmen dan permintaan
setempat. Namun begitu, ada sesetengah ibu bapa muri Orang Asli dan Peribumi yang tidak
mahu melepaskan anak mereka untuk tinggal di asrama (Marzuki et al., 2014). Hal ini
menyebabkan ramai yang masih berulang-alik pada setiap hari untuk ke sekolah. Pihak
pengurusan sekolah dan guru-guru perlu meningkatkan usaha menasihat dan berunding dengan
golongan ibubapa supaya dapat menerima perubahan demi masa hadapan anak-anak mereka.
Kesedaran, motivasi, ceramah dan taklimat tentang kebaikan menetap di asrama dalam usaha
untuk mengubah sikap dan minda masyarakat Orang Asli terhadap kepentingan pendidikan
perlu sentiasa dijalankan bagi membentuk kesedaran dalam kalangan ibu bapa seterusnya
mengubah persepsi untuk membenarkan anak mereka tinggal di asrama. Perkembangan dan
tabiat pembelajaran anak-anak adalah lebih baik apabila ibu bapa mereka terlibat secara aktif
dan berterusan dalam pendidikan mereka sejak awal lagi iaitu peringkat sekolah rendah
(Kanammah et al., 2015; Wahab et al., 2017).
Dalam usaha memastikan kelancaran penggunaan panduan PdP PIKAP, latihan dan
bimbingan berterusan sangat diperlukan berkaitan penerapan KBAT dan PAK 21 serta
148

