Page 21 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 21

melaksanakan  konsep  kemahiran  berfikir  untuk  diterapkan  kepada  murid.  Kajian  oleh
               Norasmahani  et  al. (2015) pula merekodkan tahap pelaksanaan dan kefahaman pengajaran
               KBAT dalam kalangan guru Pendidikan Islam adalah sederhana.
                       Kajian  berkenaan  pelaksanaan  KBAT  dalam  konteks  guru  di  Malaysia  merupakan
               bidang yang sangat berkembang (Alpha & Ruhizan, 2017; Chew & Zul Hazmi, 2017), namun
               kajian-kajian ini lebih tertumpu dan terbatas kepada guru yang bertugas di sekolah rendah dan
               menengah  dalam  kawasan  bandar  serta  luar  bandar  sahaja  dan  kurang  menjurus  kepada
               sekolah-sekolah pedalaman. Satu daripada lima aspirasi KPM di dalam PPPM (2013 – 2025)
               merujuk  kepada  aspirasi  ekuiti  dalam  sistem  pendidikan.  Dalam  membincangkan  ekuiti
               pendidikan sekolah luar bandar, KPM tidak mengabaikan sekolah-sekolah pedalaman serta
               cabaran  yang  dialami  oleh  guru-guru  yang  berkhidmat  di  sekolah-sekolah  tersebut.  Walau
               bagaimanapun, penulisan berbentuk ilmiah yang memberi gambaran mengenai pengetahuan
               dan  amalan  penerapan  KBAT  dalam  proses  pengajaran  yang  dijalankan  ke  atas  guru-guru
               pedalaman adalah amat terhad (Marcus Khoo & Zanaton, 2017). Justeru, kajian berkenaan
               pengetahuan  guru Pendidikan  Islam  sekolah rendah pedalaman terhadap penerapan  KBAT
               dalam proses pembelajaran adalah sangat wajar untuk dilaksanakan kerana komuniti pendidik
               akan lebih mendapat manfaat sekiranya terdapat lebih banyak kajian yang berkualiti tinggi
               dilaksanakan.
                       Kajian  ini  dilaksanakan  untuk  mengenal  pasti  tahap  pengetahuan  guru  Pendidikan
               Islam di sekolah rendah pedalaman terhadap pelaksanaan KBAT serta tahap amalan penerapan
               KBAT  dalam  pembelajaran.  Selain  itu,  kajian  ini  juga  dijalankan  untuk  mengenal  pasti
               hubungan antara tahap pengetahuan dengan amalan penerapan KBAT dalam kalangan guru
               Pendidikan Islam di sekolah rendah pedalaman. Hasil kajian akan menyediakan ruang kepada
               pihak  berwajib  untuk  meninjau  pelaksanaan  KBAT  di  sekolah-sekolah  yang  mempunyai
               kesukaran dan terhad kepada akses pendidikan. Pihak berwajib boleh mewujudkan rancangan-
               rancangan  tertentu  bagi  mengukuhkan  KBAT  seperti  penyediaan  modul  khas  serta
               mempersiapkan para guru di sekolah pedalaman dengan kursus dan kemahiran KBAT yang
               lebih kukuh. Oleh itu, aspek pengetahuan serta amalan pengajaran guru di sekolah rendah
               pedalaman  merupakan  antara  maklumat  penting  yang  perlu  diketahui  bagi  meneroka
               pelaksanaan KBAT secara keseluruhannya.

                                               SOROTAN LITERATUR

               Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

               Kemahiran  berfikir  aras  tinggi  pada  asasnya  bermaksud  tahap  pemikiran  tertinggi  dalam
               hierarki  proses  kognitif.  Pada  dasarnya,  KBAT  melibatkan  proses  analisis,  menilai  serta
               mencipta. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), KBAT ialah kebolehan dalam
               mengaplikasikan  elemen  pengetahuan,  kemahiran  dan  nilai  untuk  proses  refleksi  serta
               membuat penaakulan bagi membuat keputusan, menyelesaikan masalah, inovasi dan mencipta
               sesuatu. Kementerian pendidikan berhasrat untuk melahirkan generasi murid yang tidak hanya
               menghafal malah tahu dan faham perkara yang mereka pelajari serta dapat menggunakan akal
               fikiran secara maksimum melalui penguasaan kemahiran menilai, menganalisis, mengaplikasi
               dan mencipta. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2014), Taksonomi Bloom semakan
               Lori  Anderson  (1900)  menggambarkan  bahawa  perubahan  tahap  pemikiran  meningkat
               daripada aras mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai hingga mencipta.
                       Penerapan KBAT dalam pembelajaran Pendidikan Islam dapat diintegrasikan menerusi
               Kurikulum  Standard  Sekolah  Rendah  (KSSR).  Kurikulum  yang  telah  dibentuk  ini  adalah
               bertujuan  untuk  memenuhi  keperluan  pendidikan  Islam  secara  menyeluruh  serta  bersifat
               autentik.  Hal  ini  selari  dengan  tuntutan  Falsafah  Pendidikan  Kebangsaan  dan  Falsafah
                                                           11
   16   17   18   19   20   21   22   23   24   25   26