Page 23 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 23

kefahaman  perancangan  pelaksanaan,  kefahaman  pembinaan  item  KBAT  dan  kefahaman
               penilaian mencatatkan tahap yang tinggi. Kajian amalan pelaksanaan KBAT dalam kalangan
               guru  yang  dijalankan  oleh  Nabihah  dan  Mohamed  Yusoff  (2018)  mendapati  amalan
               pengurusan dan pelaksanaan guru berada pada tahap sederhana.
                       Dalam  kajian  Mohd  Syaubari  dan  Ahmad  Yunus  (2016)  melaporkan  tahap  amalan
               pengajaran guru Pendidikan Islam berkaitan KBAT adalah tinggi. Kajian tahap pengetahuan
               dan  amalan  guru  Matematik  dalam  mengimplementasikan  KBAT  yang  dilaksanakan  oleh
               Abdullah et al. (2017) mencatatkan pengetahuan dan amalan guru dalam aspek kurikulum dan
               pentaksiran berada pada tahap yang tinggi manakala tahap pengetahuan dan amalan dalam
               aspek pentaksiran berada pada tahap rendah. Seterusnya, Mohd Syaubari dan Ahmad Yunus
               (2017) melaporkan tahap amalan pengajaran guru Pendidikan Islam merangkumi peringkat
               awal pengajaran, perkembangan pengajaran dan penutup adalah tinggi.
                       Dalam pada itu, dapatan kajian Abdullah et al. (2017) mendapati hubungan korelasi
               positif yang tinggi antara tahap pengetahuan guru dengan amalan pelaksanaan KBAT menerusi
               aspek  kurikulum,  pedagogi  dan  penilaian.  Secara  dasarnya,  keberkesanan  pengajaran  akan
               terhasil  sekiranya  para  guru  mengetahui  dan  memahami  konsep  KBAT  secara  mendalam
               (Ruzlan  et  al.,  2016).  Oleh  itu,  amalan  pengajaran  guru  yang  tidak  mengambil  kira  aspek
               kemahiran berfikir dan masih bersifat tradisional akan merencatkan usaha penerapan KBAT
               menerusi  proses  pembelajaran.  Kurangnya  pengetahuan  dalam  diri  guru  menyebabkan
               kesukaran untuk melaksanakan KBAT dalam proses pembelajaran (Caroline & Abdul Said
               2014).  Justeru  itu,  pelaksanaan  pengajaran  dan  pembelajaran  yang  melibatkan  KBAT
               merupakan satu perkara yang kompleks dan tidak mudah sebagaimana tanggapan masyarakat
               umum.

                                                    METODOLOGI

               Kajian  ini  dijalankan  menggunakan  pendekatan  kuantitatif  menerusi  kaedah  kajian  kes.
               Instrumen kajian merupakan soal selidik yang diadaptasi daripada pengkaji lepas (Noorleha,
               2016 ; Nur Hawa Hanis, 2018 ; Siti Mariam, 2018). Responden kajian terdiri daripada 31 orang
               guru Pendidikan Islam yang berkhidmat di Zon Utara Sabah dan dipilih melalui pensampelan
               rawak  mudah.  Senarai  sekolah  rendah  pedalaman  dan  guru  yang  terlibat  dalam  kajian  ini
               diambil  daripada  portal  rasmi  Jabatan  Pendidikan  Negeri  Sabah  dan  Pejabat  Pendidikan
               Daerah.  Data  soal  selidik  dianalisis  secara  deskriptif  dan  inferensi  menggunakan  perisian
               Statistic  Package  for  Social  Sciences  (SPSS)  versi  20.0.  Dalam  menerangkan  demografi
               responden, frekuensi dan peratusan digunakan, manakala min dan sisihan piawai digunakan
               untuk menjelaskan tahap pengetahuan dan tahap amalan penerapan kemahiran berfikir aras
               tinggi dalam kalangan guru Pendidikan Islam di sekolah rendah pedalaman Zon Utara Sabah.
                       Dalam  menginterpretasikan  skor  daripada  data  kajian  yang  diperoleh,  jadual
               interpretasi min tingkah laku afektif hasil rumusan Nunally (1978) digunakan oleh penyelidik.
               Pemilihan interpretasi ini adalah sangat bersesuaian dengan skop kajian yang melibatkan aspek
               pengetahuan dan amalan. Jadual interpretasi ditunjukkan sebagaimana Jadual 1. Interpretasi
               min disusun mengikut turutan menurun daripada min  yang paling tinggi  hingga min  yang
               paling rendah.








                                                           13
   18   19   20   21   22   23   24   25   26   27   28