Page 112 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 112
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 105
PERNYATAAN MASALAH
Pengalaman merupakan salah satu elemen penting bagi seseorang pensyarah bagi
membina dan mengembangkan idealisme sosial yang digarap supaya boleh dihayati
dan diterima oleh pelajar. Pengalaman yang dimiliki oleh pensyarah mempengaruhi
penerimaan perubahan dan mencorakkan pembangunan manusia sebagai insan
yang berpengetahuan, berdaya maju dan dapat menghadapi cabaran (Hussein 2012;
Mohamad Sani & Mohd Nizam 2012). Kualiti pengalaman yang dimiliki dapat
menghasilkan pengajaran pensyarah yang mencorakkan pencapaian pelajar dan
kemajuan institusi keseluruhannya. Namun perubahan terhadap keperluan kemahiran
pendidikan sering berlaku dan akan terus berlaku untuk memenuhi keperluan
kemahiran masyarakat global.
Perubahan demi perubahan dalam pendidikan telah banyak memberi kesan
positif mahupun kesan negatif dalam dunia pendidikan. Bagi para pengajar mereka
mempunyai kesedaran terhadap perubahan yang berlaku. Para pengajar diberi
taklimat dan pendedahan tentang perubahan yang terdapat dalam struktur kurikulum
yang terlibat. Namun penerimaan pengalaman yang berbeza-beza menyukarkan
matlamat pencapaian yang ditentukan dalam kurikulum (BPG, 2007). Dalam konteks
di IPG, perubahan terhadap struktur kurikulum digambarkan dengan jelas bagi
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Kurikulum Program PISMP yang
bermula tahun 2007 dan semakan semula tahun 2015 mengambil kira keperluan
semasa pendidikan di sekolah dan perubahan untuk memenuhi keperluan revolusi
4.0. Justeru, melalui struktur kurikulum yang diikuti, pelajar lulusan program PISMP di
Institut Pendidikan Guru (IPG) diharapkan dapat menguasai hasil pembelajaran
seperti mempunyai jangkaan terhadap keperluan dan kapasiti untuk menjalani
pembelajaran berterusan, mempamerkan kemahiran pengurusan dan keusahawanan
serta bertindak balas terhadap keperluan perubahan semasa dan mempunyai
keterampilan sebagai agen transformasi bagi bidang pengajian yang diceburi (IPGM
2010; 2014).
Namun masih terdapat pensyarah yang dianggap belum berpengalaman dan
kurang bersiap sedia bagi menghadapi pelbagai perubahan yang berlaku di dalam
struktur kursus yang diajar. Perubahan yang sering berlaku menyebabkan pensyarah
dilihat sentiasa kurang berpengalaman terutama dari aspek elemen kemahiran
insaniah yang perlu diamalkan secara tersirat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Kewujudan elemen kemahiran insaniah secara tersirat di dalam
ringkasan maklumat kursus menyebabkan pensyarah kurang mengamalkan
penerapan elemen berkenaan ketika mengajar (Marina, 2014). Situasi sebegini pasti
akan memberi kesan terhadap keberhasilan pencapaian hasil pembelajaran yang
sepatutnya dicapai terutama untuk meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan
kemahiran para pelajar. Justeru, kajian ini perlu untuk mengenal pasti adakah
pengalaman memberi kesan terhadap kesediaan dan personaliti pensyarah terhadap
keperluan perkembangan perubahan pendidikan negara dalam mendepani
transformasi pendidikan secara global dan terkini dapat dicapai.

