Page 113 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 113
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 106
Selain itu, untuk mengaplikasikan perubahan kurikulum dengan berkesan
ketika pengajaran dan pembelajaran, pensyarah juga perlu mempunyai kompetensi
dan kesediaan terhadap kandungan ilmu pengetahuan yang perlu dilaksanakan. Bagi
pensyarah yang kurang pengalaman dan pendedahan dalam bidang yang perlu diajar,
mereka memerlukan panduan untuk menyediakan aktiviti pembelajaran yang
berkesan. Menurut Hall & Hord (2011), seseorang pengajar walaupun berpengalaman
akan menjadi seolah-olah guru novis apabila sesuatu kurikulum baru
diimplementasikan. Hal ini berlaku kerana mereka harus menghadapi topik baru
seperti isi kandungan baru dan pengetahuan kandungan pedagogi yang baru (Harris
& Prescott, 1982; Hall & Hord, 2011; Sanders & Makotsa, 2015). Czerniawski (2011)
juga mencadangkan agar sesuatu tindakan dapat diambil sebagai langkah intervensi
untuk membantu para pengajar memahami kurikulum supaya mereka mendapat
penjelasan yang tepat dan dapat melaksanakannya dengan betul.
Tidak dinafikan pihak yang terlibat seperti Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) telah mengutarakan beberapa
garis panduan seperti objektif, prinsip dan hasil pembelajaran yang perlu dicapai
dalam pelaksanaan kurikulum baharu. Malahan pihak KPM mahupun IPGM telah
memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan melalui latihan praperkhidmatan dan
latihan dalam perkhidmatan untuk mempertingkatkan kaedah dan strategi pengajaran
yang perlu dilaksanakan oleh para pengajar. Namun, kebanyakan kursus dan latihan
yang dikelolakan kurang memberi impak ke atas intensiti pemahaman serta kesediaan
para pengajar seperti guru dan pensyarah. Sering kali perubahan struktur sesuatu
sistem seperti perubahan dalam struktur kurikulum kurang mencapai matlamat yang
dihasratkan kerana para pelaksana kurang mempunyai pengalaman untuk
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan (Ajzen, 2002; Shih &
Fan, 2013; Barnet et al., 2013). Justeru, kajian ini amat wajar dilakukan bagi melihat
peranan pengalaman terhadap personaliti dan kompetensi keusahawanan serta
kesediaan dalam kalangan pensyarah di IPG.
Pendidikan di abad ke-21 memfokuskan untuk membentuk personaliti pelajar
secara menyeluruh dari segi moral, intelektual, fizikal, sosial dan estetik. Pelajar perlu
menguasai pengalaman dan kemahiran baru bagi memastikan survival dan kejayaan
bagi sebuah negara. Para pengajar pula perlu memiliki bukan sahaja pengalaman
tetapi berkemahiran tinggi untuk menyediakan suasana pembelajaran yang
menumpukan kepada pelajar, mendorong pelajar yang berpotensi tinggi sambil tidak
mengabaikan pelajar yang memerlukan bimbingan dan intervensi. Nilai personaliti
yang sebegini dapat mengekalkan amalan pembudayaan kecemerlangan jati diri
seseorang individu dalam memenuhi keperluan pembudayaan Revolusi 4.0. Di
samping itu, pengajar juga perlu dapat mewujudkan pembelajaran yang menyuburkan
daya kreatif, inovatif, komunikasi, boleh menyelesaikan masalah dan bekerja secara
kumpulan (Rosnani & Noazali 2011; Ibrahim et al. 2019). Pengalaman yang dimiliki di
samping personaliti dan kesediaan keusahawanan yang dimiliki dapat menghasilkan
suatu tindakan yang berkesan untuk kecemerlangan institusi. Justeru dengan memiliki

