Page 45 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK
P. 45
J u r n a l P e n y e l i d i k a n A k a d e m i k I P G M J i l i d 5 / 2 0 2 0 | 38
Kajian juga mendapati bahawa secara keseluruhannya aplikasi STEM dalam
kalangan guru Sains sekolah rendah di daerah Tuaran adalah di tahap sederhana.
Dapatan kajian ini adalah selaras dengan hasil kajian Hidayatul Illah dan Rabiatul
Adawiah (2020), yang mendapati bahawa majoriti guru bimbang kerana tidak bersedia
untuk melaksanakan aplikasi STEM. Guru-guru tidak mempunyai pengetahuan
tentang STEM secara mendalam. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti
kekurangan latihan pembangunan profesionalisme, kekurangan peralatan dan bahan
berkaitan STEM dan kekangan masa untuk melaksanakan STEM kerana terpaksa
fokus untuk menghabiskan silibus. Kajian El-Deghaidy dan Mansour (2015), turut
melaporkan bahawa guru-guru Sains mengakui bahawa mereka kurang bersedia
untuk mengaplikasikan STEM dalam pengajaran kerana tidak mempunyai
pemahaman yang mencukupi tentang STEM. Walau bagaimanapun, mereka setuju
bahawa pendidikan STEM boleh membantu mempromosikan kemahiran abad ke-21
seperti kemahiran berfikir, kolaborasi, penyelesaian masalah dan kemahiran
menyelidik yang amat berguna dalam pemilihan kerjaya dalam bidang Sains.
Kajian ini juga mendapati bahawa terdapat hubungan yang (kuat dan positif)
signifikan antara sikap terhadap STEM dan aplikasi STEM. Serta, terdapat hubungan
yang (kuat dan positif) signifikan antara pengetahuan terhadap STEM dan aplikasi
STEM dalam kalangan guru Sains sekolah rendah di daerah Tuaran. Walau
bagaimanapun, melalui ujian regrasi yang telah dijalankan didapati bahawa
pembolehubah pengetahuan terhadap STEM adalah peramal yang baik kepada tahap
aplikasi STEM dalam pengajaran Sains (memberi pengaruh yang lebih besar). Ini
adalah disebabkan oleh pekali korelasi antara pengetahuan dan aplikasi STEM
adalah lebih tinggi berbanding pekali korelasi antara sikap dan aplikasi STEM.
Dapatan kajian ini adalah selaras dengan pandangan Wahono dan Chang (2018)
bahawa sikap, sikap dan aplikasi STEM adalah saling mempengaruhi. Mereka juga
menegaskan bahawa guru yang mempunyai pengetahuan yang baik dalam STEM
lebih kerap melaksanakan aplikasi STEM dalam pengajarannya.
KESIMPULAN
Kajian ini telah mencapai objektif utama kajian iaitu mengenal pasti pengaruh sikap
dan pengetahuan guru Sains terhadap aplikasi STEM di sekolah-sekolah rendah di
daerah Tuaran. Kajian ini mendapati bahawa tahap sikap terhadap STEM,
pengetahuan terhadap STEM dan aplikasi STEM dalam kalangan guru Sains di
daerah ini adalah sederhana. Kajian ini juga mendapati bahawa terdapat hubungan
yang signifikan antara sikap terhadap STEM dan aplikasi STEM. Serta, terdapat
hubungan yang signifikan antara pengetahuan terhadap STEM dan aplikasi STEM.
Manakala ujian regrasi yang telah dilakukan mendapati bahawa pengetahuan
terhadap STEM merupakan peramal baik kepada tahap aplikasi STEM dalam
kalangan guru Sains sekolah rendah di daerah Tuaran.

