Page 9 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 9
JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
JILID 6/2021
Terdapat keperluan untuk membezakan antara orang yang fasih dalam teknologi
dan mereka yang hanya 'melihat maklumat di web, menggunakan pemproses
kata, dan menghantar e-mel. Resnick (2002), menggunakan analogi belajar
bahasa asing untuk mengartikulasikan makna ‘kefasihan digital’. Menurutnya,
untuk benar-benar fasih berbahasa asing, seseorang harus dapat
mengartikulasikan idea yang kompleks atau menceritakan kisah yang menarik.
Begitu juga, fasih secara digital melibatkan bukan sahaja pengetahuan tentang
bagaimana menggunakan teknologi digital, tetapi juga mengetahui bagaimana
membina idea penting dengan teknologi digital. Walau bagaimanapun, dikhuatiri
sementara teknologi digital menjadi lebih mudah dan lebih murah bagi guru
untuk mendapatkan akses, risiko 'kelompangan kefasihan' tetap tidak berubah
kerana hanya sebilangan kecil yang dapat menggunakan teknologi dengan lancar
dan berkesan. Secara ringkasnya, boleh difahami keadaan pendemik COVID-19
telah membuka mata kita bahawa tidak semua guru mempunyai kefasihan digital
untuk menggunakan teknologi digital. Di samping itu, kemudahan dan peralatan
ICT samada di rumah dan di sekolah tidak semestinya menjamin seseorang itu
mempunyai kecelikan digital (Lockley, 2013). Hal ini diperkuatkan dengan
kajian (Mamat et al., 2015) mengenai keadaan kemudahan yang disediakan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui platform VLE pada masa
yang lalu tidak mempunyai hubungan langsung dengan niat guru prasekolah
untuk menggunakan VLE.
PENYATAAN MASALAH
Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara digital dengan
fasih menerusi peranti elektronik dapat mengurangkan jurang pemerolehan
pengetahuan kerana pembangunan kandungan digital oleh KPM dapat
dioptimunkan. Sebarang bentuk teknologi digital sama ada e-pembelajaran,
kiosk, telefon selular dan sebagainya jika tidak digunakan secara optimum akan
menyumbang kepada pembaziran (Lo et al., 2015). Dalam era digital, jurang
yang ada dalam kalangan pelajar dan guru dengan merujuk kepada kompetensi
dan kefasihan digital mereka seharusnya semakin meningkat dan mendapat
perhatian dari KPM. Kefasihan digital berkemungkinan akan menjadi pemboleh
ubah penting yang boleh mengukur kebolehan belajar dan hasil pembelajaran
pelajar yang berasaskan digital. Selaras dengan perkembangan literatur
kompetensi digital, pemahaman konsep kefasihan digital guru perlu berlaku
seiring. Selama beberapa dekad, para penyelidik telah berusaha menetapkan
konsep pengukuran kefasihan digital yang boleh digunakan mengikut konteks
berdasarkan persekitaran negara masing-masing. Pengukuran digital sebelum ini
banyak merujuk kepada kompetensi ICT perlu diperhalusi. Dengan perubahan
dunia yang berlaku dan semakin kompleks, pengukuran digital boleh wujud
dalam pelbagai dimensi yang semakin kompleks.
4

