Page 11 - JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM 2021
P. 11

JURNAL PENYELIDIKAN AKADEMIK IPGM
              JILID 6/2021




              Ujian Kesahan

              Ujian kesahan boleh diperolehi melalui pelbagai cara, antaranya kesahan muka,
              kesahan kandungan dan kesahan kontruk. Kesahan kandungan merujuk kepada
              keseluruhan dan perwakilan item dalam kajian. Kesemua instrumen kajian boleh
              direka bentuk dan diformasikan (kesahan dan kebolehpercayaan) melalui proses
              kesahan kandungan. Apabila pengubahsuaian dilakukan terhadap instrumen yang
              sudah ada, penyelidik mesti membuat atau mengulangi semula ujian
              kebolehpercayaan dan kesahan menerusi kajian tinjauan (Lodico et al., 2010).

              Terdapat pelbagai proses kesahan yang melibatkan pemboleh ubah yang diambil
              daripada kajian sebelum ini.  Contohnya kajian teori  TAM yang dapatan
              kajiannya agak tidak konsisten  (Legris et al., 2003; Mathieson et al., 2001).
              Justeru Teo (2009), mencadangkan supaya penilaian semula ujian kesahan TAM
              dalam konteks pendidikan perlu dilakukan.  Hal  ini  untuk  memastikan  kesahan
              kandungan menepati defnisi dan maksud dalam konteks pendidikan.  Dalam
              kajian ini, item soal selidik akan diuji secara kualitatif menggunakan kaedah
              temu bual untuk  penambahbaikan  kefahaman dalam soal selidik. Bagi
              mengurangkan ralat pengukuran, perhatian khususnya dalam proses kesahan
              kandungan perlu dititkberatkan. Hal ini termasuk juga dalam menyusun susun
              atur soal selidik, format dan susunan item. Semua item dalam soal selidik
              diambil dari instrumen yang disahkan sebelumnya dan diubah suai supaya
              selaras dalam konteks pendidikan guru di Malaysia.

              Pada  masa  kini, terdapat penyelidik  yang berpandangan  bahawa jika mereka
              mengambil soal selidik  daripada  beberapa kajian lain, maka tidak banyak
              keperluan untuk mengujinya. Antara kaedah yang paling popular ialah
              mengujinya dengan ujian kebolehpercayaan. Walau bagaimanapun, tidak banyak
              masalah yang dapat dikenal pasti jika hanya dengan menguji menerusi ujian
              kebolehpercayaan semata-mata. Dalam psikometrik, ujian kebolehpercayaan
              sering dinilai menggunakan konsistensi dalaman (internal consistency)
              (Ferketich, 1990). Alpha Cronbach adalah ukuran yang digunakan untuk menilai
              kebolehpercayaan, atau konsistensi dalaman (internal consistenly) dalam satu set
              skala atau item ujian. Dalam erti kata lain, Ujian Alpha Cronbach merujuk
              kepada sejauh mana kekuatan ukuran konsisten sesuatu konsep yang diukur.

              Ujian Pra

              Berdasarkan perbincangan tersebut, wujud keperluan untuk  penyelidik
              melakukan ujian pra bagi memastikan maklumat yang ada dalam soal selidik
              betul-betul difahami oleh responden.  Ujian  pra umumnya  ditakrifkan  sebagai
              menguji satu set soalan atau soal selidik daripada sasaran populasi (Czaja, 1998).
              Sebagai  wahana  pengumpulan  data,  soal  selidik  adalah salah satu komponen
              penting dalam mencapai kualiti yang tinggi dalam tinjauan.


                                                                                     6
   6   7   8   9   10   11   12   13   14   15   16