Page 53 - FOCUS 2020 TG4 KSSM BM
P. 53
Bahasa Malaysia
Bahasa Melayu SPM Bab 1 Karangan
Karangan Cemerlang
Andaikan bahawa anda terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan peringkat
daerah. Tajuk perbahasan itu ialah “Kesedaran masyarakat lebih penting daripada penguatkuasaan
undang-undang dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar”. Anda sebagai wakil pihak
Bab 1
pencadang diminta menyediakan hujah-hujah anda. Panjang karangan anda itu hendaklah lebih
daripada 350 patah perkataan.
Alam Sekitar
INFO
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang bijaksana, pihak pembangkang yang
disegani, serta para hadirin sekalian.
Tajuk perbahasan kita pada hari ini ialah “Kesedaran masyarakat lebih penting daripada
penguatkuasaan undang-undang dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar”. Kami selaku
barisan pencadang akan mengemukakan hujah-hujah tentang pentingnya kesedaran masyarakat
dalam menangani pencemaran alam sekitar.
Terlebih dahulu, izinkan saya selaku pencadang pertama menjelaskan frasa-frasa penting
dalam tajuk perdebatan kita. Mengikut Kamus Dewan, sedar bermaksud tahu, ingat, dan insaf
akan keadaan yang sebenarnya. Masyarakat bermaksud kumpulan manusia yang hidup bersama di
sesuatu tempat dengan aturan yang tertentu. Penguatkuasaan bermaksud melaksanakan undang-
undang manakala pencemaran bererti perbuatan mengotorkan sesuatu. Definisi ini akan menjadi
panduan kami sebagai barisan pencadang dalam menegakkan hujah-hujah kami.
Apabila alam sekitar kita telah tercemar, maka kita hidup dalam suasana yang tidak selesa
sehingga dapat mengganggu ketenteraman kita. Pencemaran yang berlaku berpunca daripada
kealpaan manusia yang terlalu ghairah mengejar pembangunan sehingga sanggup mengetepikan
keseimbangan alam sekitar. Sisa-sisa kotoran pula dialirkan ke sungai tanpa memikirkan akibat
buruk kepada hidupan di air dan manusia yang menggunakan air sebagai sumber rezeki, terutama
nelayan. Kepulan asap kilang dan kenderaan saban hari dibebaskan ke udara.
Hadirin sekalian,
Mampukah pegawai penguat kuasa menangani masalah demi masalah pencemaran yang
berlaku saban waktu? Jawapannya tidak sama sekali. Maka atas alasan inilah saya menegaskan
bahawa pentingnya kesedaran masyarakat dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar.
Kerajaan telah melaksanakan kempen kitar semula dengan slogannya “Fikir Dahulu Sebelum
Buang”. Kitar semula merupakan satu daripada langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah
pencemaran alam. Masyarakat yang mempunyai kesedaran yang tinggi akan menyahut seruan
kerajaan dan seterusnya dengan rela hati mengasingkan bahan buangan ke dalam tong-tong khas
yang disediakan khusus untuk kitar semula. Sudah pasti para pegawai penguat kuasa tidak mampu
berbuat apa-apa jika tidak ada orang yang menyahut seruan kerajaan itu. Tambahan pula, belum
ada peraturan yang mewajibkan pengguna mengamalkan kitar semula.
Hadirin yang dihormati,
Kini di pasaran telah ada minyak tanpa plumbum yang dapat mengurangkan pengeluaran
asap berbanding dengan minyak berplumbum. Pengguna yang mempunyai sifat cinta akan alam
sekitar tidak teragak-agak menggunakan minyak tanpa plumbum demi menjaga alam sekitar.
Minyak tanpa plumbum telah digunakan oleh masyarakat secara meluas walaupun belum ada
undang-undang yang mewajibkan para pemandu menggunakannya. Hal ini menunjukkan bahawa
masyarakat telah sedar akan pentingnya menjaga alam sekitar.
50
01 Focus SPM BM.indd 50 12/6/19 4:38 PM

