Page 19 - Sukses Model Karangan 2022 SPM
P. 19
Bahasa Melayu SPM Bab 11 Peribahasa / Cogan Kata
licin, dan patah kepala bertongkat paruh, patah paruh bertelekan. Semua peribahasa dan
pepatah ini menjulang maksud yang hampir sama, iaitu kita tidak boleh mudah patah hati
atau mahu berpatah balik terhadap sesuatu perkara yang kita usahakan demi suatu kejayaan.
Thomas Alva Edison, pencipta mentol tersohor dunia antara tokoh yang tidak pernah jemu
berusaha dalam penciptaannya walaupun bukan sekali dua kegagalan menghiasi perjalanan
hidupnya. Begitu juga dengan tokoh-tokoh dunia yang lain seperti Abu Ali Hussien bin
Abdullah atau lebih dikenal sebagai Ibnu Sina, ahli falsafah Islam dan pakar bidang anatomi
yang terkenal itu. Di negara kita sendiri, banyak tokoh yang dapat kita contohi iltizam
mereka seperti Datuk Paduka Sharifah Mazlina, wanita pertama Malaysia dan Asia yang
berjaya merentasi Kutub Selatan, Datuk Nicol Ann David, pemain skuasy nombor satu dunia,
dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, artis tersohor tanah air yang kini dilimpahi kejayaan dan
kemewahan atas usahanya sebagai penyanyi. Itu pun sekadar menyebut beberapa nama
sedangkan hakikatnya begitu banyak tokoh negara kita yang kejayaan mereka dapat dijulang.
Alangkah baiknya seandainya peribahasa ini diterap dalam diri setiap murid untuk
memastikan kejayaan mereka. Tumpuan yang tidak berbelah bahagi seharusnya diberikan
ketika mengikuti ajaran guru di kelas mahupun ketika mengulang kaji pelajaran. Sikap malas
dan berlengah-lengah tidak akan menguntungkan kerana hari ini masa sememangnya tidak
menunggu kita. Usaha yang berterusan dan keyakinan terhadap kemampuan diri sendiri akan
mencetuskan kejayaan seseorang murid itu walaupun dia bodoh. Ungkapan belakang parang
pun jikalau diasah nescaya tajam juga turut wajib dijadikan pegangan untuk merangkul
arca kejayaan. Kejayaan luar biasa Nur Amalina Che Bakri dengan 17A1 dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia 2004 disusuli dengan kejayaan 20A1 dan satu A2 oleh Azali Azlan
dalam SPM 2007 merupakan contoh terbaik murid yang menjadi sejarah manis dalam bidang
pendidikan negara. Sayugia, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan sewajarnya turut
dijadikan pegangan oleh kita semua.
Begitu juga halnya jika kita aplikasikan hal ini kepada seseorang peladang atau
penternak. Mereka juga perlu gigih mengharungi cabaran dalam bidang pekerjaan mereka.
Selain menggunakan tulang empat kerat yang menjadi tunjang dalam setiap pekerjaan,
mereka tidak seharusnya berpeluk tubuh menunggu hasil tanaman atau ternakan mereka.
Usaha untuk memajukan bidang pekerjaan mereka itu haruslah seiring dengan ilmu
pengetahuan tentang bidang tersebut yang perlu ditimba oleh mereka. Kaedah-kaedah
moden dalam kedua-dua bidang tersebut perlu diadaptasi demi memastikan hasil tuaian
yang lumayan. Masa dan wang ringgit yang dikorbankan untuk menjadi jagoan dalam
bidang mereka seharusnya dibayar tunai selaras dengan usaha yang bersungguh-sungguh
serta ketahanan mental dan fizikal yang bukan sedikit. Tekad mereka yang kuat ditambah
dengan usaha yang berlipat kali ganda pastinya akan membuahkan hasil dan akhirnya
akan dapat menjawat gelaran Peladang Jaya yang seterusnya menjadi idola bagi mereka
yang baru bercambah bibit-bibit cintanya terhadap bidang penternakan dan perladangan
ini.
311

