Page 30 - Buletin JSKM 2021
P. 30
29
╭─────────────────»»❀❀❀««─────────────────╮
Penang International Invention, Innovation and Design
(PIID 2021)
Norshuhada Binti Samsudin
Pada 10 – 11 Mac 2021 yang lalu, Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM)
bersama Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU), UiTM Cawangan Pulau Pinang telah
menganjurkan satu program pertandingan inovasi yang dikenali sebagai Penang International
Invention, Innovation and Design (PIID 2021). Program ini telah mendapat sokongan
daripada rakan strategik dan pelbagai kolaborator seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pulau
Pinang, Pak Mat Western Sdn Bhd., Institut Kimia Malaysia Cawangan Utara dan Malaysia
Green Building Council. Disebabkan negara masih lagi berjuang menentang penularan virus
Covid-19, program ini dilaksanakan secara virtual buat pertama kali penganjuran dengan
mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Tujuan program ini diadakan adalah sebagai platform bagi membolehkan para ahli
akademia, industri dan pelajar mengenengahkan inovasi serta berkongsi idea yang inovatif dan
kreatif dari pelbagai bidang yang dipertandingkan. Ia juga adalah sejajar dengan hasrat
kerajaan untuk mempergiatkan aktiviti inovasi di Malaysia terutamanya di kalangan institusi
pengajian tinggi dan pelajar sekolah. Program ini merupakan pertandingan penghasilan
produk, idea dan rekacipta yang mempunyai ciri-ciri inovasi yang berkualiti dan berpotensi
untuk dikomersilkan. Kesemua penyertaan ini akan dinilai oleh para juri yang terdiri dari
kalangan akademia dan profesional mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Pada
tahun ini, PIID 2021 mendapat sambutan yang luar biasa dari para peserta. Program ini telah
menerima sebanyak 392 penyertaan dari dalam dan luar negara. Ia terdiri dari empat kategori
iaitu pelajar sekolah, pelajar universiti, ahli akademik dan industri. Sesi penjurian untuk
kesemua penyertaan telah berlangsung selama lima hari bermula pada 3 Mac 2021. Semua
pemenang yang terpilih diumumkan di dalam Majlis Penutupan yang diadakan secara langsung
menerusi Facebook UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Secara keseluruhannya, program inovasi ini mendapat sambutan yang sangat
menggalakkan daripada kesemua pihak terutamanya di kalangan pensyarah, pelajar universiti
dan pelajar sekolah. Justeru itu, program seperti ini wajar diteruskan pada masa-masa akan
datang agar dapat memberi peluang kepada pelajar dan para akademia mengasah bakat dalm
mencipta kreativiti masing-masing bagi menghasilkan produk inovasi yang baru dan terkini.
Semoga program ini dapat membantu negara dalam melahirkan perekacipta yang hebat di mata
dunia satu masa nanti.
─────────────────»»❀❀❀««──────────────────

