Page 31 - MODUL Impresif Sejadah Rindu Tingkatan 5 ( 2 SVM )
P. 31
SEJADAH RINDU] Tingkatan 5 / 2 SVM
BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA
SINOPSIS
Negara Siam mendengar Melaka sebuah negara yang kuat dan tidak pernah dinaungi oleh mana-mana
kuasa. Raja Siam, iaitu Bubunnya yang ingin meluaskan jajahan takluknya telah menghantar surat sembah
kepada Sultan Muzaffar Syah supaya Melaka tunduk kepada raja Siam. Apabila Sultan Muzaffar menolaknya,
Raja Siam marah dan menghantar hulubalangnya iaitu Awi Cakri menyerang Melaka.
Sultan Muzaffar Syah mengetahui berita itu lalu menitahkan Seri Amerta mengumpulkan semua orang
lelaki di Melaka. Tun Perak dari Kelang mengumpulkan orang lelaki dari Kelang bersama keluarga mereka dengan
tujuan supaya mereka berperang dengan bersungguh-sungguh demi menyelamatkan Melaka dan keluarga
mereka. Dengan bantuan angkatan perang di bawah pimpinan Tun Perak, angkatan perang Siam dapat
dikalahkan. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian sultan dan diminta tinggal di Melaka serta dilantik
sebagai bentara.
Seorang daripada orang Kelang yang iri hati telah mengadu kepada Seri Amerta bahawa dia dianiayai
oleh Tun Perak. Sultan memanggil Tun Perak mengadap untuk ditanya. Tun Perak berkata dia bertugas untuk
negara. Dia meminta sultan memecatnya jika percaya fitnah orang Kelang itu. Sultan bersetuju dengan
penjelasan Tun Perak dan mengakui kecerdikannya lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan gelaran
Paduka Raja. Kedudukan Tun Perak kini setaraf dengan seorang lagi pegawai iaitu Seri Nara Diraja.
Setelah Tun Perak digelar Paduka Raja, orang Melaka berpecah dua. Sebahagian berpihak kepada
Paduka Raja dan sebahagian berpihak kepada Seri Nara Diraja. Mereka berdua saling berselisih faham dan tidak
bermuafakat hingga boleh membinasakan Melaka. Sultan sedih dan bercadang mendamaikan mereka berdua.
Baginda telah menceraikan isterinya Tun Kudu, iaitu anak bendahara Seri Wak Raja iaitu saudara Paduka Raja
supaya dapat dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tun Kudu pernah dipelihara oleh Paduka Raja dengan
tanggungan sultan. Sejak dikahwinkan, hubungan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menjadi erat. Seri Nara
Diraja turut menyokong Paduka Raja menjadi Bendahara. Pada waktu itu terdapat tiga pembesar yang bijaksana
di wilayah ini iaitu Paduka Raja dan Seri Nara Diraja di Melaka, Patih Aria Gajah Madja di Majapahit dan Orang
Kaya Kanayan di Pasai.
Siam yang masih tidak berpuas hati datang menyerang Melaka di bawah pimpinan Awi Dicu. Paduka
Raja mengetuai pertahanan Melaka untuk menentang Siam, Seri Bija Diraja telah mengetuai tentera Melaka
untuk menyerang Siam yang sudah sampai dekat Batu Pahat. Tun Umar diminta oleh Paduka Raja membuat
siasatan terhadap angkatan tentera Siam. Tun Umar telah menaiki perahu dan melanggar banyak perahu Siam
hingga mereka kalah. Tentera Siam sangat hairan. Pada waktu malam, Paduka Raja memerintahkan supaya
pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api dibakar. Cahaya api itu kelihatan seolah-olah terlalu ramai tentera
Melaka sedang berkawal di tepi pantai. Askar Siam ketakutan melihat banyaknya askar Melaka lalu mereka balik
ke Siam dan tidak jadi menyerang Melaka.
Sultan Muzaffar merayakan kemenangan askar Melaka dengan hadiah persalinan baharu. Di Siam,
Paduka Bubunnya sangat marah. Dia mengarahkan anaknya Cau Pandan untuk menyerang Melaka dengan
pelbagai kelengkapan dan perahu yang sangat banyak bilangannya. Apabila mendengar berita itu, Sultan
Muzaffar memerintahkan seorang yang warak iaitu Tuan Sidi Arab menggunakan kesaktiannya. Dia
menggunakan panahnya dan menghalakan ke Siam sambil mengatakan Cau Pandan akan mati. Di Siam, Cau
Pandan berasa sakit dada kemudian muntah darah lalu mati. Sultan mengiktiraf Tuan Sidi Arab sebagai seorang
hamba Allah yang keramat dan menghadiahi Tuan Sidi Arab dengan pelbagai anugerah.
Selepas 42 tahun memerintah Melaka, Sultan Muzaffar mangkat dan baginda telah digantikan oleh
anakanda baginda yang bergelar Sultan Mansur Syah dan berusia 27 tahun. Baginda berkahwin dengan Tun Patih
Nur Pualam iaitu anak Seri Nara Diraja. Sultan Mansur Syah seorang yang kacak, adil, pemurah dan tiada
bandingannya pada zaman itu.
azan ab latif GCBM KVWT 31

