Page 25 - MODUL GEOGRAFI SEMESTER 2
P. 25
Selain itu aktiviti pertanian memberi kesan rumah hijau. Aktiviti pembakaran sisa pertanian
seperti jerami padi dan daun tebu akan menghasilkan asap dan gas karbon dioksida.
Pembebasan gas karbon dioksida dan partikel-partikel terampai seperti habuk, debu dan asap
membentuk satu lapisan selimut di ruang atmosfera yang akan memberi kesan rumah hijau.
Aktiviti pembalakan juga merupakan faktor yang memberi kesan rumah hijau. Pembalakan
secara besar-besaran akan mengurangkan pokok-pokok yang menjadi agen penyerap gas
karbon dioksida dan pelembap udara. Kesannya tanah akan terdedah akibat pembalakan dan
menjadi kering kontang serta berdebu. Hal ini akan menyebabkan peningkatan suhu dan
seterusnya berlakunya kesan rumah hijau.
Faktor lain ialah aktiviti domestik. Sebagai contoh pembakaran sampah secara terbuka akan
menyebabkan pelepasan gas karbon dioksida, jelaga, asap dan debu. Pelepasan gas dari bahan
bakar ini menyebabkan haba terperangkap di atmosfera dan memberi kesan rumah hijau.
Kesimpulannya, berdasarkan penerangan di atas jelaslah bahawa faktor manusia memainkan
peranan yang penting mempengaruhi kesan rumah hijau berbanding dengan faktor fizikal.
(b) Jelaskan enam langkah yang boleh dijalankan bagi mengurangkan kesan rumah hijau.
[12]
Rangka Jawapan
i. Memperkasakan akta
ii. Penguatkuasaan undang-undang
iii. Pemantauan
iv. Kempen
v. Pendidikan
vi. Penanaman semula pokok
vii. Tenaga alternatif
viii. Teknologi mesra alam
ix. Kerjasama antarabangsa
x. Perancangan bandar
xi. Penggunaan sumber yang efisyen
25

