Page 292 - SK tingkatan 5
P. 292
Penstrukturan Kandungan atau Maklumat
Apakah kandungan yang perlu dimasukkan dalam laman web anda? Bagaimanakah kandungan
maklumat dalam laman web dikelaskan? Persoalan-persoalan tersebut adalah antara perkara penting
yang memerlukan seni pengelasan dan pelabelan maklumat dalam laman web.
Dalam proses pembinaan laman web, setiap reka bentuk yang bakal dihasilkan perlu berasaskan
pengguna atau pengalaman pengguna semasa melayari laman web. Oleh sebab itu, penglibatan
pengguna semasa proses pengumpulan maklumat adalah sangat penting untuk memastikan laman
web yang dibina mampu memenuhi kehendak mereka. Antara kaedah yang boleh digunakan bagi
mendapatkan input daripada pengguna adalah seperti mengadakan sesi temu bual dengan pengguna,
mengedarkan borang kaji selidik kepada sasaran pengguna atau membuat tinjauan cara laman web
digunakan oleh pengguna. Antara langkah dalam reka bentuk maklumat adalah seperti yang berikut:
• Membentuk inventori maklumat
Langkah pertama yang perlu diambil ialah pembina laman web menyenaraikan semua maklumat
yang bakal dimasukkan dalam laman web yang dibina. Senarai atau inventori tersebut bukan
sahaja terhad kepada jenis maklumat yang akan dimasukkan, malah perkara yang boleh dilakukan
oleh pengguna juga perlu disenaraikan. Hal ini dikatakan demikian kerana senarai atau inventori
akan memberikan idea kepada fungsi yang perlu ada dalam laman web tersebut. Sebagai contoh,
bagi laman web elektronik dagang, fungsi seperti zoom in produk pilihan, shopping cart, prosedur
penghantaran produk atau respons kepada pengguna adalah antara fungsi penting yang perlu ada
bagi laman web tersebut. Rajah 3.3.14 menunjukkan fungsi Zoom In yang biasa digunakan dalam
laman web elektronik dagang.
Rajah 3.3.14 Contoh fungsi Zoom In item
• Pengelasan maklumat
Langkah seterusnya ialah pembina laman web mengelaskan senarai maklumat atau inventori
maklumat kepada beberapa kategori. Untuk tujuan tersebut, pereka bentuk maklumat boleh melihat
persamaan maklumat yang ada bagi mewujudkan kemungkinan-kemungkinan kategori yang perlu
ada. Maklumat atau informasi ialah suatu yang subjektif dan corak pengelasan maklumat boleh
berbeza-beza bergantung pada perspektif pereka web. Antara kaedah yang boleh digunakan dalam
pengelasan maklumat adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.3.1.
284 Sains Komputer Tingkatan 5

