Page 260 - e Prosiding Serai 2021
P. 260
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
PENGENALAN
Bidang sains di Malaysia telah mula diberikan perhatian sejak tahun 1980 lagi apabila
Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi (1967) melaksanakan perubahan pada
nisbah unjuran enrolmen pelajar dalam bidang sains dan sastera. Penetapan polisi ini
dilaksanakan bagi memastikan negara mempunyai kepakaran sumber manusia dalam
bidang Sains dan Teknologi (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan,
1989). Suppiah Nachiappan, et. al. (2017) dalam kajiannya menyatakan pendidikan Sains
dapat membantu murid untuk menyemai pandangan positif terhadap bidang Sains dan
Teknologi. Justeru, pendidikan di sekolah kini dilihat telah menerapkan pendidikan STEM
sebagai inisiatif untuk menggalakkan pelajar mendaftar dalam bidang Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik (Nur Farhana Ramli & Othman Talib, 2017). Oleh itu, guru
merupakan individu yang perlu memainkan peranan yang sangat besar. Menurut
Balamuralitara (2016) dalam kajian Illey Izyani Ibrahim, et. al. (2017), pengalaman
pembelajaran yang merangkumi kualiti pengajaran dan pembelajaran yang dipimpin oleh
guru di dalam bilik darjah telah membawa kesan terhadap pembelajaran murid.
SOROTAN LITERATUR
Menurut Fatin Aliah Phang, et. al. (2014), sehingga tahun 2010 penyertaan pelajar sekolah
dalam aliran sains masih belum berjaya mencapai nisbah 60% yang ditetapkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia. Malahan, pencapaian pelajar sekolah dalam bidang
Sains dan Matematik juga menunjukkan kemerosotan melalui pencapaian pelajar dalam
Trends in International Mathematics and Science (TIMSS) dan Programme for International
Student Assessment (PISA). Oleh itu, antara cadangan yang telah dikemukakan bagi
mengatasi isu ini adalah melalui pelaksanaan dan penerapan pembelajaran STEM dalam
sistem pendidikan.
Namun, kajian yang dijalankan oleh Aminah Mohammad Ayub (2018) mendapati
tahap kesedaran mengenai pembelajaran STEM di Malaysia adalah masih terhad
terutama dalam kalangan pelajar peringkat rendah. Pendedahan STEM juga hanya
berlaku melalui guru mata pelajaran Sains semata-semata dan tidak melibatkan mata
pelajaran lain. Menyedari hakikat kepentingan pelaksanaan STEM terhadap kemajuan
pembangunan sains dan teknologi pada masa akan datang, semua guru dilihat memikul
tanggungjawab besar untuk menyampaikan dan menerapkan pendidikan STEM dalam
setiap mata pelajaran yang diajar.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 242

