Page 52 - e Prosiding Serai 2021
P. 52
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
STRATEGI PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DALAM KALANGAN MURID CINA DI
SEKOLAH KURANG MURID
Shamsul Aizuwani bin Nawi PhD dan Jackson Tan Jie Sheng
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
Lembah Pantai 59990 Kuala Lumpur
shamsulaizuwani@ipgkbm.edu.my, jackson09-872@epembelajaran.edu.my
ABSTRAK
Kajian ini meninjau penggunaan strategi pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid
Cina di SJKC Kurang Murid berdasarkan kemahiran bahasa dan sikap. Reka bentuk kajian ini
menggunakan pendekatan kuantitatif dalam reka bentuk kajian tinjauan. Soal selidik telah
digunakan dalam menjalankan kajian ini. Sampel kajian ini terdiri daripada 50 orang murid
yang bersekolah di salah sebuah SJKC di negeri Perak dan sekolah ini dikategorikan sebagai
sekolah kurang murid (SKM). Hasil dapatan kajian membuktikan bahawa tahap penggunaan
strategi pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid Cina di SJKC berdasarkan
kemahiran bahasa dan sikap secara keseluruhannya adalah berada pada tahap sederhana.
Strategi kemahiran mendengar (μ = 3.54) merupakan strategi yang kerap digunakan oleh
murid Cina di SJKC yang diikuti dengan strategi kemahiran membaca (μ = 3.20), strategi
kemahiran menulis (μ = 3.11), dan strategi kemahiran bertutur(μ = 3.06). Dapatan kajian juga
memaparkan tahap sikap murid Cina di SJKC terhadap pembelajaran bahasa Melau adalah
berada pada tahap sederhana (μ = 3.12). Kajian ini dilaksanakan berdasarkan Model Strategi
Pembelajaran Bahasa Zamri (2004). Kajian ini memberi implikasi kepada guru bagi
meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai baahsa kedua dalam kalangan murid Cina
di luar bandar.
Kata Kunci: strategi pembelajaran, bahasa Melayu, murid Cina, sekolah kurang murid (SKM),
kemahiran bahasa
PENGENALAN
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merancangkan transformasi dalam
meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara melalui pelan jangka masa panjang yang
dinamakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi tahun 2013-2025 (KPM,
2013). Salah satu anjakan transformasi dalam PPPM 2013-2025 adalah untuk memastikan
setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Dengan ini, pembelajaran
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 34

