Page 911 - e Prosiding Serai 2021
P. 911
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
Fasa Refleksi Sesi Pengajaran
Dalam kajian ini, pengkaji telah mengenal pasti beberapa masalah yang berlaku
menggunakan empat kaedah tinjauan masalah iaitu pemerhatian, temu bual bersama guru,
penilaian instrumen saringan literasi Bahasa Melayu dan ujian jangka masa sebutan.
Keempat-empat kaedah ini membantu mengukuhkan fokus kajian di samping memberikan
gambaran masalah yang berlaku. Pemerhatian dalam bilik darjah dilaksanakan kepada
kumpulan sasaran untuk menilai kemahiran membaca murid dan tingkah laku mereka ketika
sesi PdPC untuk kemahiran ini. Seterusnya, pelaksanaan sesi temu bual bersama rakan guru
yang mengajar kelas ini untuk mendapatkan maklumat kemahiran bacaan mereka ketika
berada dalam mata pelajaran yang lain. Seterusnya, pengkaji melaksanakan penilaian
instrumen saringan literasi bagi kemahiran membaca dan menulis yang bertujuan untuk
menilai kemahiran murid mengikut konstruk-konstruk dalam instrumen literasi Bahasa Melayu.
Yang terakhir adalah ujian jangkaan masa menyebut untuk menilai perbezaan kepantasan
murid menyebut perkataan satu warna dan perkataan berwarna.
Berdasarkan kepada pemerhatian dalam bilik darjah, pengkaji mendapati murid-murid
mengenal huruf tetapi lambat untuk menyebut perkataan. Terdapat murid kurang yakin untuk
menyebut perkataan di mana suara mereka semakin menurun apabila membuat semakan
bacaan. Terdapat murid tidak mengecam suku kata KVKK di mana murid ini akan membuat
pisahan terhadap suku kata tersebut. Di samping itu, terdapat murid kurang memberi tumpuan
untuk membaca secara kendiri di mana mereka bermain-main dengan alat tulis.
Pengkaji turut melaksanakan sesi temu bual bersama rakan guru yang mengajar kelas
ini. Hasil daripada temu bual yang dijalankan, guru-guru menyatakan rasa kecewa kerana
murid-murid tidak dapat membaca arahan yang disediakan. Perkara ini menyebabkan guru
tidak dapat meneruskan penyampaian isi kandungan pelajaran sebaliknya membantu murid
dalam membaca arahan tugasan yang disediakan. Menurut guru-guru, murid-murid ini
memerlukan bimbingan membaca lebih terancang bagi membolehkan guru mengajar
kemahiran mata pelajaran masing-masing.
Seterusnya adalah pelaksanaan penilaian terhadap murid menggunakan instrumen
literasi Bahasa Melayu bagi kemahiran membaca dan menulis. Instrumen ini mengandungi
11 konstruk yang berkaitan dengan kedua-dua kemahiran. Instrumen ini dipilih kerana
instrumen ini telah digunakan sejak program LINUS dilaksanakan serta telah mendapat
kesahan daripada pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Penilaian yang dibuat ini
untuk menilai tahap penguasaan murid terhadap kedua-dua kemahiran tersebut. Dapatan
mendapati sebahagian besar murid belum menguasai konstruk-konstruk tertentu bagi
kemahiran membaca dan menulis.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 893

