Page 958 - e Prosiding Serai 2021
P. 958
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
CABARAN DALAM PELAKSANAAN PENGAJARAN PENDIDIKAN JASMANI DI
SEBUAH SEKOLAH ORANG ASLI
Wan Azlan bin Wan Ismail PhD, Zul Aizam bin Yassin PhD, Ros’haimi bin Mohd Yusof,
Rosli bin Abdullah, Ahmad Jalani bin Halus & Rosmadi bin Dollah
Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, IPG Kampus Dato’ Razali Ismail
wanazlan@ipgm.edu.my
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengetahui cabaran dan halangan pelaksanaan pengajaran
Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah Orang Asli. Kajian ini dijalankan di Sekolah
Kebangsaan Sungai Berua, Hulu Terengganu dengan menggunakan kaedah temu bual
bersemuka. Manakala instrumen yang digunakan bagi mengumpul data ialah melalui protokol
temu bual semi berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan pelajar orang asli sedar tentang
kepentingan Pendidikan Jasmani tetapi pengaruh budaya setempat telah mempengaruhi
sikap dan pemikiran mereka, manakala halangan berkaitan dengan faktor budaya setempat,
sikap murid, perasaan malu, kemahiran diri dan kekurangan kemudahan fasiliti sukan di
sekolah menjadi faktor penghalang penglibatan pelajar orang asli dalam aktiviti Pendidikan
Jasmani. Selain itu, hasil kajian juga menemukan faktor yang dapat menarik minat mereka
untuk melibatkan diri dalam aktiviti Pendidikan Jasmani ialah aktiviti sukan berpasukan,
komitmen guru dan peralatan sukan yang baru. Berdasarkan dapatan kajian ini beberapa
cadangan telah dikemukakan kepada pihak guru PJ dan pentadbir sekolah untuk diambil
tindakan bagi memperkasakan lagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani.
Kata kunci: Pendidikan Jasmani, kepentingan, halangan, sekolah rendah orang asli
PENGENALAN
Kerajaan sentiasa memastikan pendidikan menjadi agenda utama di negara ini. Dengan
pelaburan yang besar, negara kita telah mencapai akses kepada pendidikan yang hampir
menyeluruh. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam bentuk latihan guru, emolumen dan
pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan telah berjaya meningkatkan
penglibatan murid pada peringkat menengah dan rendah, termasuk di kawasan bandar serta
pendalaman. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), merupakan dasar Kementerian
Pelajaran Malaysia yang bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi
sekolah, tahap sosioekonomi, dan tahap keupayaan murid. Matlamat Kementerian
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 940

