Page 1208 - e Prosiding Serai 2021
P. 1208
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI RUMAH: SATU KAJIAN KES
1
1
Nor Azira Nordin , Nurul Izati Hanifah dan Nurul Syuhada Mohd Bakri 1
1 Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Damar, Lanchang, Pahang
Azwa1234@yahoo.com.my,zati_ilmi@yahoo.com,syuhadabakri95@gmail.com
ABSTRAK
Dunia dikejutkan dengan pandemik Covid-19, yang telah memberi kesan kepada kaedah
pengajaran dan pembelajaran (PdP) di seluruh dunia khususnya di Malaysia. Sepanjang
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kaedah pengajaran dan pembelajaran secara
dalam talian telah dilaksanakan bagi memastikan semua murid dapat mengikuti aktiviti PdP
mereka di rumah. Situasi ini sedikit sebanyak telah mengubah corak PdP di Malaysia dari
pembelajaran secara bersemuka kepada manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
(PdPR). Konsep PdPR menekankan kepada pembelajaran secara maya yang berasaskan
elektronik (e-learning), kelas digital dan pembelajaran jarak jauh. Semua pihak
bertanggungjawab menyokong hasrat kerajaan iaitu semua murid berhak belajar walaupun
mereka berada di kediaman masing-masing. Golongan pendidik juga sedaya upaya berusaha
menggunakan pelbagai aplikasi dalam talian sebagai kaedah PdPR bagi menggantikan
pembelajaran bersemuka. Kajian ini berfokus dalam mengenal pasti tahap keberkesanan
aplikasi dalam talian kepada murid di sekolah menengah di negeri Pahang. Reka bentuk
kajian adalah temu bual yang terdiri daripada tiga orang responden. Justeru, dapatan kajian
mendapati keberkesanan PdPR adalah bergantung kepada tahap ketersediaan murid.
Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh murid di rumah seperti menjaga adik,
kekangan peranti dan kemudahan internet yang mencukupi serta masalah bangun lewat.
Walau bagaimanapun, dapatan kajian juga membuktikan bahawa guru perlu mempelbagaikan
aplikasi pengajaran seperti Google Meet, Google Classroom, Telegram dan YouTube bagi
menarik minat murid untuk belajar. Seterusnya, dapatan kajian ini menyokong bahawa PdP
secara bersemuka adalah lebih efektif berbanding PdPR. Kajian ini juga membantu guru dan
pihak berkepentingan menambah baik pelaksanaan PdPR dan bersedia untuk melangkah
lebih jauh menggunakan pembelajaran secara maya. PdPR yang berkesan dapat memastikan
tiada seorang murid pun yang tercicir dalam pembelajaran seterusnya dapat mencapai visi,
misi dan objektif KPM.
Kata kunci: Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR); keberkesanan; aplikasi dalam
talian; tahap ketersediaan murid; kekangan peranti.
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 1186

