Page 571 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 571
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
penggunaannya, membuatkan anak-anak berasa seperti orang-orang biasa, berkongsi nama
dengan ramai serta kerap pula disebut atau dipanggil. Nama-nama yang sebaliknya, jarang
didengar, berbunyi pelik dan ganjil mungkin membuatkan yang empunya diri berasa agak
terasing. Kemungkinan juga nama pelik itu tidak begitu disenangi, apatah lagi jika ejaannya
juga rumit, susah dibunyikan dan akhirnya dipanggil dengan sebutan yang tidak betul.
Menurut beliau lagi, kesan daripadanya, nama ini mungkin menjadi bahan ejekan atau
membangkitkan rasa malu kepada mereka yang akhirnya menyebabkan rasa marah,
membangkitkan pergaduhan, malah juga boleh membina perasaan rendah diri.
Sebaliknya nama-nama yang indah dan membawa maksud yang baik-baik akan
meningkatkan keyakinan diri serta rasa diri dihormati. Misalnya orang Melayu sangat sensitif
dengan gelaran, pangkat dan darjat. Setiap gelaran yang ada pada nama lazimnya
menceritakan keturunan dan asal usul. Nama yang pangkalnya syed, sharifah, tengku, tunku,
tun, ungku, engku, megat, puteri, nik, wan dan raja adalah antara gelaran feudal yang diwarisi
sejak ratusan lalu. Jika diteliti mengikut kerangka sosial pemikiran orang Melayu, gelaran
sedemikian mencerminkan status dan kedudukan seseorang. Psikologi orang Melayu
memperlihatkan mereka sering ‘terkagum’ dengan gelaran dan pangkat ini. Bagi penerima
atau yang memakai gelaran, mereka rasa dihargai, mungkin mendapat tumpuan dan suka
atau tidak layanan yang diterima memang berbeza berbanding orang kebanyakan.
Seringkali gelaran kurang manis atau label negatif seperti `Hitam’ (kerana kulitnya
gelap) atau `Cik Mok’ (disebabkan badannya montel), “Pendek” (ketinggian rendah) dan lain-
lain gelaran memberi kesan kepada emosi (yang digelar) dan persepsi (pihak ketiga yang
mendengar). Panggilan seperti ini akan mengikis keyakinan diri mereka dan perkara ini boleh
berlanjutan sehingga dewasa. Mereka akan membesar sebagai individu yang kurang yakin
dan mempunyai tanggapan negatif pada diri sendiri. Panggilan negatif yang diulang berkali-
kali lama-kelamaan akan meresap dalam fikiran anak dan dia percaya dirinya memang
mempunyai sifat seperti nama gelaran itu.
Label negatif pada nama lain yang selalu kita dengar ialah seperti ‘Si Bodoh’, ‘Budak
Comot’, dan ‘Minah Kilang’. Ia lebih ketara bagi mereka yang bernama Ahmad atau
Muhammad dengan label yang bermula dengan perkataan ‘Mat’. Bermacam-macam gelaran
‘Mat’ diberikan. Antaranya ialah ‘Mat Gila’, ‘Mat Tiga Suku’, ‘Mat Kerbau’ atau ‘Mat Lori’,
sehinggakan apabila seorang ‘Mat’ itu tidak mempunyai apa-apa gelaran, maka dilabelnya
pula sebagai ‘Mat Saja’.
Objektif 2:
Dari segi penggunaan kata ganti nama diri, ternyata ada ketikanya kesalahan penggunaan
kata ganti nama diri mampu memberi kesan kepada emosi dan persepsi. Abdullah Hassan
(2007) dalam kertas kerja bertajuk Unsur Budaya dalam Komunikasi yang dibentangkan
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 550

