Page 627 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 627
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
Kajian ini memberi manfaat kepada pelajar menengah rendah dan guru-guru yang
mengajar mereka. Pihak yang memerlukan keputusan ujian ini ialah pelajar, para pendidik,
dan ibu bapa. Instrumen ini memberi maklumat tentang aspek sistem bahasa yang belum
dikuasai. Pelajar dapat memberi tumpuan dan memperbaiki kelemahan bahasa mereka
dengan strategi pembelajaran yang sesuai dengan bantuan guru, ibu bapa dan rakan-rakan.
Guru juga boleh menggunakan instrumen ujian ini sebelum memulakan pengajaran di awal
sesi pembelajaran atau ketika proses PDPC dijalankan. Guru boleh memutuskan program
pemulihan untuk dilaksanakan ke atas pelajar. Pemilihan Standard Kurikulum yang sesuai
dengan prestasi pelajar dapat dilakukan dengan tepat. Secara tidak langsung instrumen
UDBMMR dapat membantu pelaksanaan KSSM. Pihak sekolah, Persatuan Ibu bapa dan
Guru (PIBG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) boleh
menggunakan hasil maklumat daripada penggunaan instrumen ini untuk merancang program
kepada semua sekolah bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu. KPM (2018)
menyarankan pihak sekolah bekerjasama pihak ibu bapa untuk meningkatkan prestasi pelajar
dalam program sarana ibu bapa.
Kesimpulannya, kajian ini penting dan berguna kepada bidang pendidikan khususnya
mata pelajaran Bahasa Melayu. Penguasaan yang baik dalam Bahasa Melayu akan
meningkatkan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan pembangunan negara.
Hasrat KPM menerusi FPK untuk membentuk individu yang mampu menyumbang kepada
keharmonian dan kemakmuran negara dapat direalisasikan.
TINJAUAN LITERATUR
Terdapat banyak kajian tentang kesalahan bahasa, namun tiada kajian yang mengkaji
kesalahan bahasa menggunakan instrumen ujian diagnostik Bahasa Melayu. Zaitul Azma
Zainon Hamzah (2010) telah melaksanakan kajian berkenaan pemantapan pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah menengah. Kajian ini dilakukan ke atas 300 pelajar
menggunakan kaedah tinjauan. Kajian ini menggunakan kaedah ujian bertulis dan soal selidik.
Instrumen ujian mengandungi 80 item tatabahasa, 20 item peribahasa, 1 soalan penulisan
karangan, 1 soalan penulisan berpandu dan 1 soalan merumus karangan perlu dijawab. Item
tatabahasa dan peribahasa menggunakan format pelbagai pilihan dengan empat pilihan
jawapan. Instrumen soal selidik mengandungi 12 item berkenaan faktor-faktor kesukaran
mempelajari Bahasa Melayu di sekolah. Dapatan kajian menunjukkan pelajar melakukan
kesalahan tatabahasa terutama dalam aspek kata hubung, kata sendi nama, antonim, kata
ganti nama, dan kata adjektif. Aspek peribahasa menunjukkan 20 item yang paling kerap
berlaku kesalahan. Aspek pemahaman pula mendapati pelajar lemah dalam memahami
petikan prosa tradisional iaitu 25.0%, diikuti novel (16.4%), petikan umum (14.7%), puisi
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 606

