Page 635 - e Prosiding Serai 2021 final
P. 635
Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa (Serai) 2021
21-22 September 2021
TANGGAPAN, SIKAP DAN AMALAN ETNIK DI KAWASAN LUAR BANDAR
DI PANTAI TIMUR TERHADAP BAHASA MELAYU
Mohd Asri Harun¹, Karim Harun² dan Kartini Abd. Wahab³
¹IPG Kampus Dato’ Razali Ismail
²,³Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohdasri@ipgkdri.edu.my
ABSTRAK
Tanggapan, sikap dan amalan terhadap sesuatu bahasa mempengaruhi penguasaan bahasa
tersebut. Kajian ini akan membincangkan tanggapan, sikap, dan amalan etnik Melayu, Cina
dan Orang Asli di kawasan luar bandar di pantai timur terhadap bahasa Melayu. Selain itu,
pengkaji juga akan menjelaskan faktor pendorong etnik-etnik tersebut mempelajari bahasa
Melayu. Untuk tujuan tersebut, pendekatan statistik deskriptif kuantitatif telah digunakan.
Data-data perbincangan diperoleh daripada 429 responden yang berumur 11 tahun di negeri
Terengganu dan Kelantan melalui instrumen soal-selidik yang ditadbir secara bersama
dengan guru-guru sekolah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti (93%) etnik di
kawasan luar bandar di pantai timur memberikan tanggapan yang positif terhadap bahasa
Melayu sebagai bahasa yang penting. Peratusan yang sama juga menunjukkan etnik tersebut
suka mempelajari bahasa Melayu. Pengkaji mendapati bahawa guru-guru dan sekolah
menjadi pendorong utama motivasi belajar bahasa Melayu lebih daripada ibu bapa dan ahli
keluarga etnik tersebut. Bahasa Melayu bukan menjadi bahasa pertuturan di rumah dan di
sekolah bagi etnik Cina dan Orang Asli. Secara keseluruhan, dapatan kajian tentang
tanggapan dan sikap etnik di kawasan luar bandar di pantai timur terhadap bahasa Melayu
ini memperlihatkan peluang yang cerah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu
dalam kalangan etnit tersebut.
Kata kunci: tanggapan, sikap, amalan dan etnik.
PENGENALAN
Tinjauan terhadap bahasa tidak dapat lari daripada masyarakat yang menjadi penuturnya.
Bahasa Melayu yang menjadi objek utama dalam kajian ini dituturkan bukan sahaja oleh
penutur natif bahasa tersebut tetapi juga oleh penutur bukan natif. Pengalaman yang jelas
berbeza dari segi cara memperoleh dan masa mula menguasai bahasa Melayu antara kedua-
dua kumpulan penutur tersebut sudah tentu memberikan implikasi terhadap tanggapan, sikap
dan amalan penggunaan bahasa tersebut. Justeru, kajian tentang tanggapan, sikap dan
e-Prosiding Serai 2021/e-ISBN 978-967-19359-3-4 614

