Page 115 - malaysia_2017
P. 115

•   Mukim
                  Sesebuah daerah dipecahkan kepada beberapa mukim dan terdapat sebuah
                  pejabat kerajaan yang diketuai oleh seorang penjawat awam yang dikenali
                  sebagai Penghulu (Penggawa di Kelantan). Di peringkat ini, hanya beberapa
                  jabatan dan perbadanan awam sahaja yang mempunyai cawangan masing-
                  masing. Peranan utama seseorang Penghulu ialah untuk membantu Pejabat
                  Daerah dan Tanah serta  agensi-agensi  kerajaan lain menjalankan program
                  pembangunan dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan di kampung-kampung
                  di bawah seliaannya. Dahulu, jawatan Penghulu diwarisi mengikut keturunan
                  atau  dilantik  daripada  kalangan  penduduk  tempatan  yang  mempunyai
                  pengaruh yang luas. Kini, penghulu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan   PERLEMBAGAAN DAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA
                  Awam Negeri berasaskan kepada kebolehan dan kelulusan akademik. Oleh
                  itu, mereka juga merupakan pegawai awam.

              •   Kampung
                  Peringkat pentadbiran  yang paling  rendah ialah peringkat kampung  yang
                  diketuai oleh seorang Ketua Kampung (Penghulu di Kelantan dan Tok Sidang
                  di Melaka) yang dilantik oleh kerajaan negeri melalui Pegawai Daerah. Ketua
                  Kampung  hanya diberi elaun dan mereka  bukanlah  sebahagian daripada
                  penjawat awam. Seorang Ketua Kampung bertanggungjawab untuk menjaga
                  keamanan kampung dan menyelesaikan masalah peringkat kampung. Beliau
                  turut berperanan menjadi penghubung antara Pegawai Daerah dan pembantu
                  kepada Penghulu.  Sementara itu, Ketua Kampung  turut berfungsi  untuk
                  mempengerusikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
                  Pembentukan  JKKK  bertujuan  untuk  memberi peluang  kepada  penduduk
                  kampung  mengambil bahagian  yang  aktif dalam proses perancangan dan
                  pelaksanaan program dan projek pembangunan di kampung mereka. Badan
                  ini juga menyatukan kampung dengan pentadbiran mukim, daerah dan negeri
                  untuk  mempercepatkan proses pembangunan  dan penyelesaian  masalah
                  setempat.

              •   Pentadbiran Negeri Sabah
                  Pentadbiran Negeri Sabah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu daerah dan
                  kampung.  Peringkat  daerah diketuai  oleh  Pegawai Daerah. Selain  daripada
                  Penolong Pegawai Daerah, seseorang Pegawai Daerah dibantu oleh seorang
                  Ketua Daerah yang bertanggungjawab  terhadap segala aspek pentadbiran
                  yang  berkaitan  dengan  hal-ehwal  suku-suku  kaum  di  daerah  berkenaan.
                  Setiap suku kaum di sesebuah daerah diketuai oleh Ketua Anak Negeri. Ketua
                  Anak  Negeri  bertanggungjawab  kepada  Ketua  Daerah.  Kesemua  mereka
                  ini merupakan sebahagian daripada pegawai awam. Sama seperti keadaan
                  di Semenanjung Malaysia, setiap kampung  di Sabah diketuai oleh Ketua
                  Kampung yang bukan merupakan pegawai awam.

              •   Pentadbiran Negeri Sarawak
                  Pentadbiran Negeri Sarawak pula dibahagikan kepada empat peringkat iaitu:
                  bahagian, daerah, daerah kecil dan kampung.










                                                            MALAYSIA 115
                                                                         2017
   110   111   112   113   114   115   116   117   118   119   120