Page 112 - malaysia_2017
P. 112
• Melantik seorang Menteri Besar;
PERLEMBAGAAN DAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA
• Tidak mempersetujui permintaan membubarkan Dewan Undangan Negeri;
• Meminta mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja tentang keistimewaan,
kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja atau hal ehwal Islam;
• Melaksanakan tugas sebagai Ketua Agama Islam atau tugas yang berkaitan
dengan adat istiadat orang Melayu;
• Melantik waris Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja;
• Menentukan penerima pingat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat
Melayu dan menetapkan tugas-tugas yang berkenaan dengannya;dan
• Membuat peraturan mengenai balai-balai diraja atau istana.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Kuasa eksekutif di Semenanjung Malaysia dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMK) atau EXCO atas nama Raja atau Yang di-Pertua Negeri. Di
Sarawak badan ini dikenali sebagai Majlis Tertinggi dan di Sabah dikenali sebagai
Kabinet. MMK diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik oleh
Sultan atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri dalam kalangan Ahli Dewan Negeri
yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan tersebut. MMK dianggotai
oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dipilih dan tiga orang
Pegawai Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri, dan Penasihat Undang-undang
Negeri. Bilangan DUN yang menganggotai EXCO berbeza antara negeri mengikut
Perlembagaan Negeri masing-masing.
Dewan Undangan Negeri
Kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah meluluskan undang-undang
dan dipersetujui oleh Raja/Sultan/Yang di-Pertua Negeri. Seksyen 4, Jadual 8
Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan Dewan Undangan Negeri
mesti mengandungi sebilangan ahli yang dipilih melalui pilihan raya. Peranan Raja/
Sultan/Yang di-Pertua Negeri adalah sebagai pihak berkuasa perundangan yang
hanya akan hadir pada masa-masa khas seperti pembukaan Dewan Undangan
Negeri. Tugas utama Raja/Sultan/Yang di-Pertua Negeri adalah untuk memanggil
DUN bermesyuarat, memberhentikan dan membubarkan DUN. Seseorang itu
tidak boleh menjadi ahli DUN bagi lebih daripada satu bahagian pilihan raya pada
sesuatu masa. DUN akan berjalan selama lima tahun dari mesyuarat pertamanya.
Apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya peringkat negeri akan diadakan dalam
tempoh 60 hari di Semenanjung dan 90 hari di Sabah dan Sarawak.
Jentera Pentadbiran Kerajaan Negeri
Bagi melancarkan pentadbiran, sesebuah negeri dibahagi kepada beberapa buah
daerah. Daerah-daerah ini pula dibahagi kepada mukim-mukim. Di Sarawak,
sebelum dibahagi kepada daerah, Sarawak dibahagi dahulu mengikut Bahagian.
Ketua Bahagian dipanggil Residen dan Ketua Daerah dipanggil Pegawai Daerah.
Di Sabah pula, negeri dibahagi kepada beberapa residensi dan setiap residensi
dibahagi pula kepada daerah. Bagi perkhidmatan awam negeri, pelantikan dibuat
oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri masing-masing kecuali Perlis, Pulau
Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan yang pelantikan pegawainya dibuat oleh
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.
112 MALAYSIA
2017

