Page 114 - malaysia_2017
P. 114

Perkhidmatan Awam Negeri
        PERLEMBAGAAN DAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA
            Setiap  negeri  mempunyai  perkhidmatan  awamnya sendiri.  Bagi  negeri  Kedah,
            Johor,  Kelantan  dan  Terengganu,  perkhidmatan  awam negeri  meliputi  semua
            jawatan. Bagi negeri-negeri selainnya, jawatan-jawatan tadbir diisi oleh Pegawai
            Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau Perkhidmatan Tadbir Am (PTA). Pegawai-pegawai
            ini dipinjamkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

            Pejabat Setiausaha Persekutuan dan Pejabat Kewangan Persekutuan
            Khusus  bagi negeri Sarawak dan Sabah, kerajaan telah mewujudkan  semula
            jawatan Setiausaha  Persekutuan  di  samping  jawatan Pegawai Kewangan
            Persekutuan yang sedia ada. Tugas utama Pejabat Setiausaha Persekutuan ialah
            untuk menyelaras dan mentadbir aktiviti jabatan-jabatan dan perbadanan awam
            persekutuan  di negeri berkenaan. Pejabat ini  juga bertanggungjawab  untuk
            mengeratkan  hubungan  antara kerajaan persekutuan  dan  kerajaan-kerajaan
            negeri. Pejabat Kewangan Persekutuan bertanggungjawab kepada Kementerian
            Kewangan  Persekutuan dalam menjalankan  tugas-tugas  kewangan  seperti
            memeriksa anggaran  belanjawan  agensi-agensi  persekutuan  di  Sabah  dan
            Sarawak. Tujuan penubuhannya ialah untuk mempercepatkan proses membuat
            keputusan.

            Perbadanan Awam Negeri
            Kerajaan negeri mempunyai perbadanan awam yang merangkumi badan berkanun
            dan badan tidak berkanun yang merupakan syarikat kepunyaan kerajaan negeri.
            Hubungan  badan-badan  ini  dengan  kerajaan negeri  dan  agensi-agensi  utama
            negeri adalah lebih  kurang sama dengan  perhubungan  antara perbadanan
            awam persekutuan dengan kerajaan persekutuan dan agensi pusat. Perbadanan
            awam lain  yang  terdapat di  peringkat  negeri  merupakan  cawangan-cawangan
            perbadanan awam persekutuan. Sama seperti cawangan jabatan persekutuan,
            perbadanan ini bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan, tetapi tertakluk
            kepada usaha penyelarasan pentadbiran negeri.

            Peringkat Pentadbiran Negeri
            Pentadbiran setiap negeri di Semenanjung Malaysia dijalankan menerusi pelbagai
            peringkat. Peringkat-peringkat ini ialah :

            •   Daerah
                Pembahagian negeri mengikut daerah atau jajahan yang dimulakan oleh pihak
                Inggeris berterusan hingga sekarang. Kebanyakan projek yang dirancang di
                peringkat persekutuan dan negeri dilaksanakan di peringkat daerah. Pejabat
                daerah dan  tanah  yang  diketuai oleh Pegawai Daerah merupakan pejabat
                utama di peringkat ini. Bidang tanggungjawabnya adalah berkaitan dengan
                pentadbiran  tanah, pentadbiran Majlis  Daerah dan  pengurusan  aktiviti
                pembangunan, di samping menyelaraskan kegiatan semua cawangan agensi
                kerajaan negeri  dan  persekutuan  di  peringkat  daerah. Kebanyakan  agensi
                negeri dan persekutuan mempunyai cawangan di peringkat ini.












              114  MALAYSIA
                                2017
   109   110   111   112   113   114   115   116   117   118   119