Page 110 - malaysia_2017
P. 110

Suruhanjaya
        PERLEMBAGAAN DAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA
            Perlembagaan Persekutuan  membenarkan  penubuhan  dua  jenis  suruhanjaya
            iaitu Suruhanjaya Tetap dan Suruhanjaya Sementara. Suruhanjaya Tetap adalah
            Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan. Sementara
            Suruhanjaya Khas yang bersifat sementara  diwujudkan  bagi menyiasat atau
            menyelesaikan  masalah dan  perkara semasa. Suruhanjaya  merupakan  badan
            bebas dan berkecuali bagi memastikan tiada unsur campur tangan dan pengaruh.
            Ahli-ahlinya  dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong  atas  pertimbangan dan
            nasihat  Perdana  Menteri  dan  juga  setelah  berunding  dengan  Majlis  Raja-Raja.
            Bagi Suruhanjaya Tetap, tempoh lantikan adalah lima tahun atau mengikut budi
            bicara Yang  di-Pertuan  Agong.  Antara Suruhanjaya  di  peringkat  Persekutuan
            ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,
            Suruhanjaya  Pasukan  Polis  dan  Suruhanjaya  Perkhidmatan  Kehakiman  dan
            Perundangan.

            Jabatan
            Jabatan kerajaan adalah  agensi  peringkat  perlaksanaan yang  kedua  tertinggi
            selepas kementerian. Jabatan telah wujud ketika zaman penjajahan British lagi.
            Semasa British memerintah negeri-negeri  di Tanah Melayu, jabatan-jabatan
            kerajaan ditubuhkan bertujuan melaksanakan aktiviti-aktiviti di bawah sesebuah
            kementerian. Fungsi jabatan adalah berkaitan dengan pelaksanaan sesuatu dasar
            yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Aktiviti harian jabatan kerajaan melibatkan
            pemberian khidmat kepada masyarakat secara langsung dalam pelbagai bidang.
            Setiap jabatan kerajaan mempunyai ibu pejabatnya sendiri yang kebanyakannya
            terletak di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ibu pejabat jabatan berfungsi menggubal
            dasar-dasar, merancang, mengawas dan menyelaras aktiviti jabatan di peringkat
            negeri  dan  daerah  serta bertanggungjawab  terhadap  perkara-perkara yang
            berkaitan dengan  kemajuan kerjaya pegawai dan  kakitangan  jabatan masing-
            masing.
            Setiap jabatan kerajaan diketuai oleh seorang pegawai tadbir utama iaitu Ketua
            Pengarah Jabatan dan nama jawatan ini disesuaikan mengikut nama jabatan-
            jabatan yang  berkenaan.  Berdasarkan fungsi  jabatan sebagai agen  pelaksana
            dasar kerajaan, pegawai dan kakitangan kerajaan terdiri daripada mereka yang
            mempunyai kelayakan dan kriteria tertentu. Jawatan di peringkat pengurusan diisi
            oleh pegawai dari perkhidmatan kumpulan iktisad, manakala jawatan-jawatan lain
            diisi oleh mereka yang mempunyai pengkhususan tersendiri.

            Perbadanan Awam
            Selain  jabatan, kerajaan juga  menubuhkan  perbadanan-perbadanan  awam.
            Perbadanan-perbadanan  ini ditubuhkan  bagi mengambil alih beberapa bidang
            tugas dan tanggungjawab yang pernah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan kerajaan.
            Penubuhan  perbadanan ini memberi kesan yang baik dengan  mencantumkan
            faedah-faedah  yang terdapat daripada kerajaan dengan  faedah-faedah  yang
            boleh diperoleh daripada syarikat swasta. Setiap perbadanan awam mempunyai
            pegawai-pegawainya  sendiri. Pegawai Tadbir Utama  dalam perbadanan awam
            dipanggil Pengurus Besar yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbirkan
            perbadanan awam mengikut objektif-objektif korporatnya.

            Untuk  melicinkan sistem pentadbiran, sesebuah perbadanan mempunyai
            bahagian-bahagian  tertentu berdasarkan bidang  tugas masing-masing. Setiap
            perbadanan mempunyai Lembaga Pengarah masing-masing. Bagi badan-badan


              110  MALAYSIA
                                2017
   105   106   107   108   109   110   111   112   113   114   115