Page 291 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Cetakan Semula Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 291
Perlembagaan Persekutuan
CaTaTaN
per. 146b—(samb.)
2. Perkara ini dimansuhkan oleh Akta A514, seksyen 13, berkuat kuasa dari 15-05-1981 dan
berbunyi seperti yang berikut:
“146b. (1) Berkenaan dengan anggota-anggota perkhidmatan awam am Persekutuan yang
diambil kerja dalam jabatan persekutuan di Negeri Sabah atau Sarawak, fungsi-fungsi
yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah, selagi Fasal ini
berkuat kuasa, dijalankan oleh cawangan Suruhanjaya itu yang ditubuhkan bagi Negeri itu.
(2) Cawangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan bagi sesuatu Negeri
di bawah Fasal (1) hendaklah terdiri daripada enam orang anggota (dua orang daripadanya
hendaklah daripada kalangan anggota badan induk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) yang
dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya tetapi selepas
menimbangkan nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis raja-raja.
(3) (Dimansuhkan).
(4) Mana-mana anggota cawangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan
di bawah Fasal (1) sebagaimana yang ditetapkan oleh Pengerusi Suruhanjaya hendaklah
menjadi pengerusi cawangan itu.
(5) Bilangan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dikehendaki oleh Fasal (4)
Perkara 139 adalah sama seperti bilangan anggota badan induknya, tidak termasuk mereka
yang menjadi anggota sesuatu cawangan tetapi bukan anggota badan induk.
(6) jika sesuatu jawatan dalam jabatan persekutuan di Negeri Sabah atau Sarawak
memerlukan kewajipan dijalankan di dalam atau berkenaan dengan Negeri yang satu lagi itu,
maka cawangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang bidang kuasanya meliputi jawatan
itu ialah cawangan bagi Negeri di mana ketua jabatan itu biasanya ditempatkan atau, jika
terdapat apa-apa keraguan atau kesulitan, mana-mana jua cawangan yang ditetapkan oleh
Kerajaan Persekutuan.
(7) Walau apa pun Fasal (2) Perkara 134, selagi terdapat cawangan Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam bagi Negeri Sabah atau Sarawak di bawah Perkara ini, bidang kuasa
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah meliputi (kecuali mengenai penjalanan kawalan
tatatertib ke atas mereka) anggota perkhidmatan awam Negeri itu yang dipinjamkan kepada
perkhidmatan awam am Persekutuan, selain anggota-anggota dalam atau di bawah apa-apa
gred yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri;
dan bagi maksud Suruhanjaya Perkhidmatan Awam anggota-anggota itu hendaklah disifatkan
(kecuali mengenai penjalanan kawalan tatatertib ke atas mereka) sebagai anggota-anggota
perkhidmatan awam am Persekutuan.
(8) Perkara ini hendaklah berkuat kuasa sehingga akhir bulan Ogos 1968, dan selepas
itu hendaklah terus berkuat kuasa berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak sehingga
ditetapkan sebaliknya oleh Kerajaan Persekutuan.”.
per. 146c
1. Perkara ini ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 56, berkuat kuasa dari 16-09-1963
dan berbunyi seperti yang berikut:
“146c. (1) jika peruntukan dibuat oleh undang-undang persekutuan bagi menubuhkan
suatu perkhidmatan bersama yang am bagi Persekutuan dan bagi sesuatu Negeri Borneo
atau Singapura, atau bagi dua atau lebih daripada Negeri tersebut sama ada berserta
Persekutuan atau tidak berserta Persekutuan, dan bagi memberi bidang kuasa berkenaan
dengan perkhidmatan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan
atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, maka undang-undang persekutuan boleh membuat
peruntukan bagi fungsi-fungsi Suruhanjaya yang berhubungan dengan perkhidmatan itu
dijalankan oleh mana-mana cawangan yang pada masa ini ditubuhkan di bawah Perkara
146a atau 146b bagi Negeri itu atau mana-mana Negeri yang berkenaan itu.

