Page 293 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Cetakan Semula Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 293

[Perkara  146D]     Perlembagaan  Persekutuan                   155

              bidang  kuasa  suruhanjaya  pasukan  polis  ke  atas  anggota
              yang  dipinjamkan  daripada  perkhidmatan  negeri  di  negeri
              sabah dan  sarawak

              146d.  Walau  apa  pun  Fasal  (2)  Perkara  134,  bidang  kuasa
              Suruhanjaya  Pasukan  Polis  hendaklah  meliputi  anggota-anggota
              perkhidmatan awam Negeri Sabah atau Sarawak yang dipinjamkan
              kepada  pasukan  polis;  dan  bagi  maksud  Suruhanjaya  Pasukan
              Polis mereka  adalah disifatkan  sebagai  anggota  pasukan  polis.

              (2)  (Dimansuhkan).

              (3)  (Dimansuhkan).



              perlindungan  hak pencen

              147.  (1)  Undang-undang  yang  terpakai  bagi  apa-apa  pencen,
              ganjaran  atau  elaun  lain  yang  sepertinya  (dalam  Perkara  ini
              disebut  “imbuhan”)  yang  diberikan  kepada  seseorang  anggota
              mana-mana  perkhidmatan  awam,  atau  kepada  balunya,  anaknya,
              orang  tanggungannya  atau  wakil  dirinya,  hendaklah  undang-
              undang yang berkuat kuasa pada hari yang berkaitan atau apa-apa
              undang-undang  kemudiannya  yang  tidak  kurang  baiknya  kepada
              orang yang diberi  imbuhan  itu.

                (2)  Bagi  maksud Perkara ini  hari yang  berkaitan—

                    (a)  berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan sebelum
                        Hari  Merdeka, ialah  tarikh  imbuhan  itu diberikan;

                    (b)  berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan selepas
                        Hari Merdeka kepada atau berkenaan dengan mana-mana
                        orang  yang  menjadi  anggota  mana-mana  perkhidmatan
                        awam sebelum Hari Merdeka, ialah tiga puluh hari bulan
                        Ogos tahun seribu sembilan  ratus lima  puluh  tujuh;

                    (c)  berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan kepada
                        atau berkenaan dengan mana-mana orang yang menjadi
                        anggota  mana-mana  perkhidmatan  awam  bagi  pertama
                        kali  pada  atau  selepas  Hari  Merdeka,  ialah  tarikh  dia
                        pertama kali menjadi  anggota  sedemikian.


                (3)  Bagi maksud Perkara ini, jika undang-undang yang terpakai
              bagi sesuatu imbuhan bergantung pada pilihan orang yang diberi
              imbuhan itu, undang-undang yang dipilih olehnya itu hendaklah
              dikira lebih baik bagi dirinya daripada mana-mana undang-undang
              lain yang mungkin  dipilih  olehnya.
   288   289   290   291   292   293   294   295   296   297   298