Page 299 - PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN CETAKAN SEMULA Sebagaimana pada 1 November 2010
P. 299
[Perkara 150] Perlembagaan Persekutuan 158
(2a) Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh
Perkara ini termasuklah kuasa untuk mengeluarkan Proklamasi-
Proklamasi yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau
dalam hal-hal keadaan yang berlainan, sama ada suatu Proklamasi
atau Proklamasi-Proklamasi telah dikeluarkan atau tidak oleh
Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (1) dan Proklamasi atau
Proklamasi-Proklamasi itu sedang berkuat kuasa.
(2b) jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat
sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen
sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati
bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu
baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan
Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang
didapatinya perlu mengikut hal keadaan.
(2c) Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2b)
hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana
Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan
sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga
ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau
sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang
di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2b)
boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya
Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan
tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti,
atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam
mana-mana satu Majlis Parlimen.
(3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan
di bawah Fasal (2b) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-
dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan,
hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh
kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu,
tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya
menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan
kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi
baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di
bawah Fasal (2b).
(4) Semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif
Persekutuan hendaklah, walau apa pun apa-apa jua dalam
Perlembagaan ini, meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan
sesuatu Negeri dan pemberian arahan kepada Kerajaan sesuatu
Negeri atau kepada mana-mana pegawai atau pihak berkuasa
Negeri itu.

