Page 106 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 106
LATAR BELAKANG
Sejak daripada sebelum era Perang Dunia Kedua lagi, pendidikan sains telah diberikan
tempat dalam sistem pendidikan di Malaysia. Selepas merdeka sehinggalah sebelum
Rancangan Malaysia Kedua, Sains dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua murid dalam
sistem persekolahan di negara ini. Sebagai sebuah negara bekas jajahan British yang baru
merdeka pada tahun 1957, Malaysia telah mengadaptasi sistem pendidikan British. Menurut
Lee (1992) dan Tan (1991), tiga buah kurikulum sains telah diadaptasi, iaitu The Scottish
Integrated Science Syllabus for Lower Secondary School, The Nuffield Secondary School
Science Curriculum for the Non-Science Stream of Upper-secondary School, dan The Nuffield
O Levels Pure Science Syllabus for the Upper-secondary Science Stream. Kurikulum ini
digunakan mulai tahun 1968 sehingga tahun 1981. Adaptasi kurikulum sains daripada Britain
ke dalam pendidikan Malaysia berlaku kerana kekurangan pakar dari dalam negara pada masa
itu, sesuai dengan status negara yang baru merdeka.
Setelah lebih kurang dua dekad merdeka, negara memutuskan supaya pendidikan di
Malaysia mempunyai kurikulum yang dibina berasaskan acuan sendiri, bagi memenuhi
keperluan negara yang sedang membangun. Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk
mengkaji pelaksanaan dasar pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kedua. Jawatankuasa ini
mengeluarkan satu laporan yang dipanggil Laporan Kabinet pada tahun 1979 untuk menyahut
cabaran sains dan teknologi serta Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya KBSR dan KBSM
dilancarkan menjadikan Sains sebagai mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua
murid dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 (11 tahun persekolahan).
Sepanjang pelaksanaan KBSR dan KBSM terdapat banyak intervensi yang dijalankan
oleh pihak KPM dalam usaha menambahbaik pendidikan sains di Malaysia. Antara usaha
terbesar yang dijalankan oleh KPM yang melibatkan pendidikan sains ialah penubuhan sekolah
Bestari serta Pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Semasa pelaksanaan Sekolah Bestari dan PPSMI kurikulum KBSR masih diguna pakai dengan
pengubahsuaian dibuat kepada kurikulum KBSR untuk disesuaikan dengan konsep sekolah
Bestari dan PPSMI. Pada tahun 2009, KPM telah mengambil keputusan untuk
memansuhkan PPSMI dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa
Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), walau bagaimanapun
murid masih mengikuti kurikulum sains KBSR yang sama.
Berdasarkan kepada maklum balas dan cadangan yang dikumpulkan sepanjang
pelaksanaan KBSR dan KBSM daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan
Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu bapa pada tahun 2010 KPM telah memulakan
usaha secara rasmi untuk mentransformasikan KBSR kepada kurikulum baru yang dikenali
sebagai KSSR seiring dengan penyediaan PPPM. KSSR telah dilancarkan secara berperingkat
di semua sekolah rendah mulai tahun 2011 bermula dengan murid Tahun 1.
Rasional perubahan dalam kurikulum Sains Sekolah Rendah
Kurikulum Sains Sekolah Rendah telah melalui beberapa siri perubahan dan penambahbaikan.
Seiring dengan perkembangan dalam kaedah saintifik pada awal tahun 1900an, para pendidik
dalam bidang sains telah menekankan bahawa wujudnya satu set kemahiran yang digunakan
oleh saintis untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran ini juga dilabelkan sebagai pemikiran
kritikal, penyelesaian masalah, pemikiran saintifik dan kemahiran proses sains (Padilla, Cronin
& Twiest, 1985). Bersandarkan aliran pemikiran ini, Kurikulum Sains KSSR dibina dengan
memastikan pemerolehan pengetahuan sains berlaku melalui penerapan kemahiran yang
digunakan oleh saintis di seluruh dunia menerusi aktiviti PdP. KPM berpandangan, penekanan
kepada kemahiran saintifik ini dalam kurikulum perlu dinyatakan secara eksplisit, seperti yang
97

