Page 107 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 107
dilaksanakan di negara-negara lain bagi membolehkan kurikulum sains negara kita diletakkan
setanding dengan kurikulum sains di peringkat global.
Justeru itu, Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009
telah memberikan kelulusan untuk membangunkan kurikulum baru dan dinamakan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (BPK, 2019). Pembangunan KSSR ini masih berasaskan prinsip
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan masih berlandaskan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis telah dilakukan
di sekolah rendah terpilih di seluruh negara bagi melihat kebolehlaksanaan kurikulum yang
baharu dibangunkan.
KURIKULUM SAINS DALAM KSSR
Pembangunan kurikulum Sains dalam KSSR dibuat secara menyeluruh, merangkumi aspek
reka bentuk, kerangka konsep, matlamat, objektif, organisasi kandungan, peruntukan masa,
pedagogi serta pentaksiran.
Kerangka konsep KSSR Sains
Kurikulum Sains merangkumi tiga domain iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Ketiga-
tiga domain ini perlu dilalui oleh murid melalui pendekatan inkuiri bagi menghasilkan individu
yang fikrah sains. Individu yang fikrah sains dapat dilahirkan dengan memberi peluang kepada
mereka untuk memperoleh pengetahuan tentang sains, kemahiran dan nilai melalui pengalaman
pembelajaran yang dapat menanam rasa tanggungjawab terhadap persekitaran dan mensyukuri
penciptaan alam semulajadi. Murid yang berfikrah sains juga boleh memahami idea sains dan
berkomunikasi, seterusnya boleh mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran saintifik.
Kemahiran saintifik membolehkan murid untuk mencari jawapan kepada persoalan yang timbul
secara sistematik. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif diperlukan untuk murid menilai
sesuatu idea dengan sistematik sebelum menerima idea tersebut di samping menerapkan sikap
saintifik dan nilai murni dalam diri murid. Kerangka ini digambarkan dalam Jadual 1.
Rajah 1: Kerangka Kurikulum Sains Rendah KSSR
98

