Page 108 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 108

Matlamat dan Objektif KSSR Sains

                    Matlamat KSSR Sains adalah untuk menanam minat dan mengembangkan kreativiti murid
               melalui  pengalaman  dan  penyiasatan  bagi  menguasai  ilmu  sains,  kemahiran  saintifik  dan
               kemahiran berfikir serta sikap saintifik dan nilai murni.

               Objektif KSSR Sains bertujuan membolehkan murid mencapai perkara berikut:

                    1.  Menggunakan pendekatan inkuiri untuk memenuhi sifat ingin tahu bagi mendapatkan
                        pengetahuan baharu dengan meneroka tentang dunia di sekeliling mereka.
                    2.  Mengaplikasikan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
                        untuk menerangkan fenomena secara saintifik.
                    3.  Memperoleh  pengetahuan  tentang  fakta  dan  konsep  sains  yang  lebih  abstrak  dan
                        kompleks.
                    4.  Mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai secara kritis, kreatif dan analitis bagi
                        membuat keputusan, menyelesaikan masalah serta mereka cipta.
                    5.  Membudayakan sikap saintifik dan nilai murni dalam kehidupan.
                    6.  Menunjukkan sikap responsif dalam menjaga alam sekitar bagi menghadapi cabaran
                        di peringkat tempatan, negara dan global.

               Organisasi KSSR Sains

                    Kandungan Kurikulum Sains disusun semula dan ditambah baik untuk memastikan murid
               dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa.
               KSSR Sains dari Tahun 1 hingga Tahun 6 dibangunkan mengikut enam tema iaitu  Inkuiri
               Dalam Sains, Sains Hayat, Sains Fizikal, Sains Bahan, Bumi dan Angkasa serta Teknologi dan
               Kehidupan Lestari.
                    Setiap tema diorganisasikan berdasarkan kepada kecenderungan tema tersebut mengikut
               bidang  sains/kemahiran  yang  dihasratkan.  Tema  Inkuiri  Dalam  Sains  mengandungi  12
               Kemahiran Proses Sains (KPS) yang perlu dikuasai oleh murid. Tema tersebut merupakan satu
               proses mental yang menggalakkan pemikiran secara kreatif, analitis dan sistematik. Tema Sains
               Hayat menjurus kepada bidang biologi, tema Sains Fizikal kepada bidang fizik manakala tema
               Sains Bahan kepada bidang kimia. Sementera itu, tema Bumi dan Alam Semesta dibangunkan
               menjurus  kepada  sains  bumi,  Sistem  Suria,  buruj  serta  galaksi.  Teknologi  dan  Kehidupan
               Lestari ialah tema terakhir yang menjurus kepada penggunaan teknologi dengan mengambil
               kira kesedaran yang perlu dipupuk di peringkat sekolah rendah bagi menjadikan kehidupan
               yang lebih lestari.

                         KONSEP PENULISAN KURIKULUM SAINS SEKOLAH RENDAH

                      Proses  dalam  mereka  bentuk  kurikulum  adalah  satu  perkara  yang  sangat  penting,
               kompleks dan sentiasa diperdebatkan dalam kalangan para pendidik mahu pun ahli akademik
               (Eisner 1994, Tyler 1949). Kurikulum Sains Sekolah Rendah dibentuk berdasarkan beberapa
               teori pembelajaran. Satu daripadanya ialah Teori Pembelajaran Kognitif Piaget. Menurut Piaget
               (1952), isi kandungan pelajaran hendaklah disusun mengikut peringkat perkembangan kognitif
               kanak-kanak iaitu daripada konkrit kepada abstrak, dekat kepada jauh, pengalaman yang sedia
               ada kepada pengalaman baru, kasar kepada halus dan mengikut perkembangan individu (Mok
               Soo Sang, 2009).
                       Berpandukan  teori  perkembangan  kognitif  ini,  maka  satu  prinsip  umum  telah
               dipersetujui dan digunakan dalam penggubalan kurikulum sains sekolah rendah di BPK dengan
               mengambil  kira  beberapa  kriteria  seperti;  penyusunan  kandungan  pembelajaran  daripada


                                                            99
   103   104   105   106   107   108   109   110   111   112   113