Page 116 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 116
PENTAKSIRAN
Pentaksiran bilik darjah (PBD) bagi sains dilaksanakan bersandarkan tiga domain utama
yang diintegrasikan iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Pentaksiran dalam sesuatu tema
bertujuan melihat sejauh mana murid menguasai SK dalam tema tersebut. Hierarki tahap
penguasaan (TP) murid dibahagikan kepada 6 tahap mengikut taksonomi Bloom yang disemak
iaitu mengetahui, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Standard
Prestasi (SPi) merupakan satu set kriteria umum yang perlu murid pamerkan sebagai eviden
sesuatu SK itu telah dikuasai oleh murid.
Dalam penulisan SPi KSSR Sains, setiap tajuk atau tema akan dikelompokkan bagi
menghasilkan satu set SPi. Setiap tahap penguasaan menggambarkan apa yang murid boleh
lakukan dan boleh diukur. Guru perlu membaca keseluruhan SP dalam tema dan SPi sebelum
melaksanakan PdP supaya pentaksiran dapat dijalankan seiring dengan tajuk yang diajar. Guru
akan mengajar menggunakan SP dan membuat pentaksiran dengan merujuk pada SPi. Di akhir
semester guru akan menentukan satu TP akhir bagi mata pelajaran Sains yang menunjukkan
pencapaian murid dalam tempoh tersebut, guru perlu membuat pertimbangan professional
berdasarkan pengalaman guru bersama murid, kebijaksanaan serta perbincangan bersama rakan
sejawat.
PEDAGOGI
Penambahbaikan dalam pedagogi perlu seiring dengan transformasi KSSR yang berlaku.
Pedagogi perlu menekankan kepada pembelajaran secara mendalam melalui pendekatan PdP
yang mengarah kepada KBAT. Fokus diberikan kepada PdP berasaskan inkuiri, penyelesaian
masalah, pembelajaran kontekstual, pembelajaran kolaboratif, pembelajaran berasaskan projek
dan pendekatan STEM. Kesemua ini dipakejkan sebagai Pendidikan Abad ke- 21 (PAK-21).
Selain itu, panel penggubal juga telah membuat tinjauan dengan meminta pandangan guru-guru
sains daripada pelbagai lapisan seperti pensyarah, Ketua Panitia, guru cemerlang, guru Sains
yang berpengalaman dan guru Sains yang baharu berkhidmat untuk mencadangkan tempoh
masa yang diperlukan untuk mengajar sesuatu topik yang sesuai dengan pedagogical content
knowledge (PCK). Sampel yang diambil adalah sekitar 200-300 orang semasa proses
penggubalan kurikulum. Menurut Shulman (1987), PCK adalah satu kombinasi pengetahuan
tentang sesuatu subjek dan pedagogi yang paling sesuai untuk menyampaikan topik tersebut
kepada murid yang mempunyai minat yang pelbagai serta tahap kebolehan yang berbeza.
Dalam penulisan kurikulum KSSR Sains, tidak semua cadangan aktiviti dinyatakan
dalam DSKP bagi mencapai sesuatu SP. Cadangan aktiviti hanya ditulis sekiranya terdapat
keperluan, seperti dalam contoh Jadual 5.
107

