Page 123 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 123

peringkat awal pengajaran. Berikut adalah antara respons yang diberikan oleh pelajar-pelajar
               berkenaan.
               Pelajar 1: Saya memang lemah dalam pembezaan sejak dari sekolah lagi, nak bertanya
                               kawan malulah.
               Pelajar 2: Bila lihat sahaja ungkapan matematik saya terus tidak tahu nak buat apa…
               Pelajar 3: Semasa cikgu ajar saya faham tapi bila buat sendiri rasa macam susah pula…
               Pelajar 4: Rasanya macam dah betul…tapi salah …saya mengaku saya memang cuai
                               cikgu.
               Pelajar 5: Saya susah nak ingat langkah dalam matematik, mengelirukan.

                       Berdasarkan  respons  daripada  para  pelajar  ini  telah  mendorong  pengkaji  untuk
               melakukan perubahan dalam teknik pengajaran. Setelah perbincangan dibuat dengan beberapa
               rakan  pensyarah,  pengkaji  bercadang  untuk  melakukan  intervensi  dalam  pengajaran  topik
               pembezaan logaritma. Intervensi yang dirancang akan melibatkan elemen permainan supaya
               pelajar  lebih  berinteraksi  sesama  mereka  dan  mewujudkan  elemen  persaingan  untuk
               mendapatkan  jawapan  yang  betul  serta  membantu  mengekalkan  ingatan  terhadap  langkah-
               langkah penyelesaian. Menurut kajian Any Herawati (2013) yang melibatkan pembelajaran
               kooperatif  TAI  dan  Game  Puzzle  didapati  elemen  permainan  dalam  pembelajaran  dapat
               membantu meningkatkan motivasi dan pemahaman konsep matematik.  Malah Dorman dan
               Fraser  (2009)  menegaskan  bahawa  simulasi  dan  permainan  mampu  menarik  minat  pelajar
               dalam  pembelajaran  dan  seterusnya  membantu  pengekalan  ingatan  terhadap  isi  kandungan
               yang dipelajari.
                       Pengkaji berpandangan bahawa sekiranya masalah dalam menulis langkah awal yang
               betul bagi pembezaan fungsi logaritma tidak ditangani maka jawapan keseluruhan pelajar pasti
               akan terjejas. Sementelah, kemahiran ini akan diaplikasikan dalam banyak situasi dalam topik
               pembezaan.  Apabila  menganalisis  kertas-kertas  peperiksaan  bagi  tiga  semester  yang  lepas,
               pengkaji  mendapati  soalan  yang  berkaitan  kemahiran  melaksanakan  pembezaan  logaritma
               sering diuji kepada pelajar. Kemahiran ini bukan setakat untuk kegunaan di peringkat Program
               Matrikulasi malah pastinya diperlukan oleh pelajar apabila melanjutkan pengajian ke peringkat
               yang  lebih  tinggi.  Oleh  yang  demikian,  pengkaji  melihat  terdapat  keperluan  untuk
               menggunakan teknik pengajaran yang dapat membantu pelajar dalam memastikan mereka tidak
               melakukan kesilapan yang sama pada masa hadapan.
                       Menerusi  input  daripada  beberapa  rakan  pensyarah  berhubung  pembezaan  fungsi
               logaritma, pengkaji mendapati wujud permasalahan yang hampir sama semasa mengendalikan
               topik  ini.  Salah  satu  daripadanya  ialah  isu  pelajar  mudah  lupa  dengan  langkah-langkah
               pembezaan dan sering kali melakukan kesilapan langkah awal penyelesaian.
                       Setelah membuat penilaian kesesuaian menerusi kajian-kajian lepas, pengkaji memilih
               sejenis  permainan  yang  dikenali  sebagai  Formulator  Tarsia  untuk  diaplikasikan  dalam
               pengajaran topik pembezaan logaritma. Malah Formulator Tarsia telah digunakan dalam kajian
               Nur Qomaria (2017) yang bertujuan melihat kesan permainan ini terhadap aktiviti kolaborasi
               di  dalam  kelas  matematik.  Permainan  ini  menarik  kerana  ia  memerlukan  pelajar  mencuba
               soalan yang diberi dan merangsang pelajar mencari jawapan yang betul supaya permainan ini
               dapat disempurnakan. Menerusi permainan ini, persekitaran pembelajaran akan berubah dan
               lebih  ceria.  Ini  seiring  dengan  pandangan  Dorman  (2008)  dan  Afari  et  al.  (2012)  yang
               menyatakan  bahawa  dengan  meningkatkan  persekitaran  pembelajaran  maka  akan  wujud
               potensi untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran pelajar. Malah terdapat juga kajian lepas
               yang  menunjukkan  bahawa  apabila  guru  merancang,  membangunkan  dan  melaksanakan
               kaedah pengajaran yang inovatif di dalam bilik darjah, guru berpotensi untuk menarik minat
               pelajar dan mengoptimumkan hasil pembelajaran mereka (Chandra & Fisher, 2009).




                                                           114
   118   119   120   121   122   123   124   125   126   127   128