Page 126 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 126
Kuiz
Bagi mengesahkan pemerhatian tersebut, satu kuiz yang mengambil masa selama 10
minit telah dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kemahiran mereka dalam mengendalikan
pembezaan fungsi logaritma. Kuiz ini terdiri daripada 4 soalan yang diubah suai daripada
soalan-soalan Ujian Pertengahan Semester dan juga dari kertas Peperiksaan Semester Program
Matrikulasi. Bagi memastikan soalan-soalan ujian menepati keperluan sukatan pelajaran maka
pengkaji telah merujuk kepada pensyarah pakar mata pelajaran (SME) sebagai pengesahan
ujian.
Selepas menyemak dan menilai kesemua jawapan pelajar, didapati 11 daripada 17
pelajar masih melakukan kesilapan dalam penyelesaian langkah awal pembezaan fungsi
logaritma. Setelah berbincang dan mengambil kira pendapat rakan-rakan pensyarah, pengkaji
menyimpulkan bahawa terdapat keperluan untuk mengubah pendekatan pembelajaran subtopik
ini dengan menggunakan kaedah yang lain. Menurut Effandi (2005), tiada satu kaedah terbaik
yang dapat diguna pakai dalam semua keadaan khususnya dalam pembelajaran matematik dan
guru perlu terus berusaha meneroka pelbagai kaedah pengajaran dalam usaha membantu
pelajar.
Langkah pelaksanaan Formulator Tarsia
Berdasarkan pemerhatian dan keputusan kuiz yang kurang memuaskan, pengkaji telah
memilih untuk melakukan intervensi yang berbentuk permainan dengan mengguna perisian
Formulator Tarsia. Perisian ini adalah perisian berlesen percuma dan mudah untuk digunakan.
Formulator Tarsia mengandungi editor persamaan (equation editor) yang dapat
digunakan untuk membentuk pernyataan matematik bagi membolehkan ia digunakan untuk
aktiviti yang dirancang. Kemampuan perisian ini yang mampu meletakkan ungkapan di sisi
tepi bentuk yang dipilih benar-benar membantu dalam penyediaan bahan secara mudah dan
praktikal. Dalam kajian ini, pengkaji memilih bentuk segi tiga sama sisi yang perlu
dicantumkan setelah mengenal pasti jawapan kepada setiap soalan yang diberikan. Rajah 1
menunjukkan contoh segi tiga sama sisi yang akan terbentuk daripada cantuman kepingan kecil
segi tiga sama sisi sekiranya soalan dan jawapannya sepadan.
117

