Page 124 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 124

Oleh yang demikian, pengkaji memilih Formulator Tarsia kerana permainan ini mudah
               untuk dilaksanakan oleh pelajar dan mampu mewujudkan suasana persaingan dalam kalangan
               pelajar. Malah Gosen dan Washbush (2004), Proserpio dan Gioia,(2007) serta Zantow et al.
               (2005),  bersependapat  bahawa  dengan  melibatkan  elemen  permainan  akan  menarik  minat
               pelajar dalam proses pembelajaran dan menggalakkan mereka mengambil bahagian melalui
               persekitaran yang lebih interaktif.

                                                    FOKUS KAJIAN

                       Kalkulus ialah cabang ilmu  yang merangkumi antaranya topik had, pembezaan dan
               kamiran.  Penguasaan  setiap  topik  ini  amatlah  penting  supaya  perkembangan  pembelajaran
               pelajar  untuk  ke  peringkat  yang  lebih  tinggi  dapat  berjalan  dengan  lancar.  Bagi  jurusan
               Perakaunan  Program  Matrikulasi,  topik  pembezaan  merupakan  topik  yang  utama  dalam
               sukatan pelajaran semester 1. Topik ini diperuntukkan 6 jam waktu kuliah dan 3 jam waktu
               tutorial.  Penekanan  yang  diberikan  adalah  menjurus  kepada  penerapan  kemahiran
               mengaplikasikan petua-petua pembezaan seperti petua hasil darab, petua kuasa, petua hasil
               bahagi  dan petua rantai.  Selain itu, pelajar juga perlu menguasai  kemahiran melaksanakan
               pembezaan yang melibatkan pelbagai fungsi seperti fungsi eksponen, fungsi trigonometri dan
               fungsi logaritma. Oleh kerana majoriti pelajar jurusan Perakaunan mempunyai latar belakang
               matematik yang kurang memuaskan, tentunya topik pembezaan adalah topik yang mencabar.
               Apatah lagi dalam situasi yang melibatkan pelbagai bentuk fungsi serta menuntut kemahiran
               algebra yang mantap khususnya dalam meringkaskan ungkapan-ungkapan matematik.
                       Topik pembezaan pula adalah topik utama dalam bidang kalkulus. Penguasaan dalam
               topik ini penting kepada pelajar supaya pembelajaran mereka ke peringkat seterusnya akan
               menjadi lebih lancar. Antara subtopik yang sering menimbulkan masalah kepada pelajar ialah
               pembezaan fungsi logaritma. Kesilapan yang dilakukan dalam melaksanakan langkah-langkah
               awal penyelesaian akan menjejaskan penyelesaian keseluruhan dan akhirnya membantutkan
               usaha pelajar untuk mencatatkan prestasi yang baik dalam pencapaian matematik.
                      Oleh  yang  demikian,  kajian  ini  akan  memfokuskan  kepada  penggunaan  Formulator
               Tarsia  untuk  pelajar  yang  bermasalah  dalam  pembezaan  fungsi  logaritma  agar  dapat
               meningkatkan  lagi  pencapaian  mereka  dalam  topik  pembezaan  fungsi  logaritma.  Menerusi
               aktiviti  permainan,  diyakini  pelajar  akan  menambah  baik  pengekalan  maklumat  serta
               menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan bermakna.

                                                  OBJEKTIF KAJIAN

               Objektif Umum

               Secara umumnya objektif bagi kajian ini adalah meningkatkan pencapaian pelajar dalam topik
               pembezaan logaritma.

               Objektif Khusus

               Secara khususnya objektif bagi kajian ini adalah

               1.    100%  pelajar  memperoleh  markah  sekurang-kurangnya  80%  dalam  segmen  langkah
               penyelesaian  awal  pembezaan  dalam  Ujian  Pembezaan  Fungsi  Logaritma  setelah
               diperkenalkan dengan Formulator Tarsia.





                                                           115
   119   120   121   122   123   124   125   126   127   128   129