Page 28 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 28
Wong, Dirghangi dan Hart (2018) dalam kajian mereka menyatakan bahawa pelajar
yang mempunyai masalah kendiri lebih cenderung bersendirian, tertekan dan mempunyai
tingkah laku negatif seperti ponteng kelas, bergaduh serta kerap melanggar peraturan sekolah.
Lantaran itu, pembentukan kendiri dalam kalangan pelajar seharusnya diberi penekanan yang
serius agar pelajar terbabit sentiasa mempunyai sikap yang positif dan di dalam pembelajaran
pula, mereka akan sentiasa memberi tumpuan atau minat agar kefahaman mereka terhadap
sesuatu subjek tersebut lebih tinggi. Oleh itu, seharusnya guru yang mengajar subjek ekonomi
ini mestilah dapat menarik perhatian agar pelajar terlibat dapat menunjukkan sikap dan
kefahaman yang baik dan ini sekali gus dapat membentuk kendiri yang positif. Kenyataan ini
turut ditegaskan oleh Khoo (2008) yang mengatakan bahawa sekiranya kaedah pengajaran guru
ekonomi masih berada pada peringkat lama, akan memberi kesan terhadap kendiri pelajar dan
ini menyebabkan pelajar tidak dapat mengadaptasi ilmu yang diberikan oleh seseorang guru di
dalam kelas dan akan memberi kesan yang negatif terhadap sikap dan kefahaman pelajar
terhadap subjek tersebut.
Lantaran itu, pelajar beranggapan mata pelajaran ekonomi adalah sukar dan ini sudah
tentu akan membentuk sifat kendiri yang negatif dalam kalangan pelajar terutamanya sikap
terhadap ekonomi serta keyakinan pelajar dari segi kognitif iaitu kefahaman mereka dalam
subjek ekonomi. Hal ini turut disokong oleh Yusoff dan Masri (2006) yang menyatakan bahawa
tanggapan pelajar merasakan mata pelajaran ekonomi susah adalah melalui kesukaran yang
dihadapi dari segi kefahaman konsep dalam mata pelajaran ekonomi, penganalisisan data
statistik serta penghuraian graf yang melibatkan kemahiran matematik. Ini kerana keperluan
dalam meningkatkan kefahaman konsep ekonomi telah mendominasi kehidupan dalam dunia
pekerjaan untuk meningkatkan sumber pendapatan dalam kehidupan. Justeru, kepentingan
kefahaman ilmu ekonomi dalam aspek perdagangan antarabangsa, bajet negara dan keperluan
seseorang secara langsung memberi kesan terhadap kehidupan seseorang termasuk sebagai
seorang pelajar itu sendiri.
Menurut Chee (2007) pula, permasalahan yang wujud dalam mata pelajaran ekonomi
adalah masalah pencapaian atau prestasi dalam kalangan pelajar yang berkaitan dengan
kefahaman dan tingkah laku serta aplikasi dalam mata pelajaran yang memerlukan seseorang
pelajar berdaya saing dalam mencapai kejayaan akademik yang mana kajian ini berkait dengan
konsep kendiri seseorang pelajar. Oleh yang demikian, antara usaha yang dilakukan oleh KPM
adalah program melibatkan elemen kendiri yang melibatkan pengetahuan, sikap serta cara
seseorang pelajar itu mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dipelajari dalam sesuatu mata
pelajaran yang diajar di sekolah iaitu mengubah seseorang pelajar yang mempunyai kendiri
negatif kepada kendiri positif. Penerapan nilai-nilai pembangunan sahsiah diri pelajar dengan
melaksanakan beberapa program pencegahan, pengembangan dan pemulihan mampu
membentuk konsep kendiri positif dalam kalangan pelajar (KPM, 2013).
Sehubungan itu, isu yang berkaitan dengan kendiri pelajar di sekolah adalah berkait
rapat dengan kekurangan pengetahuan atau kefahaman dan sikap dalam melahirkan minat
terhadap mata pelajaran di sekolah (Jappeli, 2010) yang mana memerlukan sikap sahsiah yang
tinggi dalam membentuk kendiri pelajar untuk bersaing dalam akademik. Oleh itu, dapat
ditekankan bahawa kendiri memainkan peranan yang amat penting sekali khususnya dalam
membentuk sikap terhadap ekonomi dan kefahaman konsep ekonomi pelajar itu sendiri agar
pencapaian atau prestasi terutamanya dalam mata pelajaran ekonomi peringkat STPM meningkat
dan ini memberi kesan yang positif dan produktif terhadap pelajar tersebut agar kesinambungan
berterusan dapat dilihat apabila pelajar ini meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi
atau ke alam kerjaya kelak.
19

