Page 68 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 68

Paradigma Pembelajaran Sosial Dan Emosional Dalam Pendidikan STEM:
                                                    Satu Tinjauan

                                    Radin Muhd Imaduddin bin Radin Abdul Halim
                                                    Fakulti Pendidikan,
                                              Universiti Kebangsaan Malaysia
                                                   radin.muhd@live.com

                                                         Abstrak

               Revolusi  Perindustrian  keempat  (RI4.0)  ditandai  dengan  sistem  siber  fizikal  dan  pengaruh
               internet dalam segenap bidang kemanusiaan. Namun, RI4.0 bukan sahaja memberi tumpuan
               kepada perkembangan dan memusatkan teknologi, tetapi juga banyak menjerumuskan kepada
               persoalan  kualiti  kemanusiaan  pada  masa  hadapan.  Justeru,  elemen  kemanusiaan  lah  yang
               menjadi sangat penting dan utama bagi memaknakan RI4.0. Dalam kurikulum kebangsaan,
               sejak 1967 lagi, Dasar STEM menjadi pelaburan utama dalam sistem pendidikan kebangsaan
               namun sehingga kini belum mencapai matlamatnya. Justeru, walaupun pendidikan STEM perlu
               diteruskan sebagai pemacu kepada cabaran dan ekonomi masa hadapan, artikel ini meninjau
               keperluan  paradigma  baharu  dalam  pendidikan  STEM  melalui  pembelajaran  sosial  dan
               emosional (PSE). Pendekatan pembelajaran perlu mengambil kira keperluan kemanusiaan itu
               sendiri seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, terutama dalam unsur
               diri manusia (jasmani, emosi, rohani dan intelek) dan persekitaran manusia (sosial).

               Kata kunci: STEM, Pembelajaran Sosial dan Emosional, Revolusi Perindustrian keempat,
                                   Masyarakat 5.0

                                                   PENDAHULUAN

                       Dalam  merancang sistem persekolahan masa hadapan, para pengkaji masa hadapan
               (‘futurist’) membincangkan sejauh mana pendekatan pendidikan sedia ada adalah relevan, serta
               keperluan untuk menambah baik dan ‘memberi nilai’ agar pembelajaran lebih berkesan dan
               memenuhi keperluan semasa(Fisk, 2017; Manyika et al., 2017).  Zaman Revolusi perindustrian
               keempat  ini  secara  langsung  atau  tidak  langsung  memaksa  manusia  untuk  memanfaatkan
               kemajuan  automasi  dan  teknologi  pintar  dengan  kecanggihan  kecerdasan  buatan,  justeru
               menjustifikasikan  pelaburan  dalam  bidang  sains,  teknologi,  kejuruteraan  dan  matematik
               (STEM) sama ada dari aspek infrastruktur, dana atau sumber manusia. Namun, pada masa yang
               sama, perlu dipertahankan teras watak dan jati diri kemanusiaan.
                       Maka,  artikel  ini  akan  meninjau  (a)  perihal  perkembangan  revolusi  perindustrian
               keempat (RI4.0) dan persoalan kebersediaan sumber manusia, (b) pendidikan kemanusiaan
               dalam  STEM,  serta  (c)  cabaran  peningkatan  minat  murid  dalam  STEM  dan  Dasar  STEM.
               Seterusnya, perbahasan akan menjurus seputar (d) pembelajaran sosial dan emosional (PSE)
               sebagai paradigma baharu dalam reformasi pendidikan STEM dengan fokus yang menekankan
               kepada pembinaan watak dan jati diri kemanusiaan. Akhir sekali, artikel ini akan membahaskan
               (e) kepentingan penerapan PSE sebagai gagasan panduan bagi memaknakan semula kurikulum
               pendidikan STEM.

               Revolusi  Perindustrian  Keempat  (RI4.0)  Dan  Kebersediaan  Sumber  Manusia  Di
               Malaysia
                       Pada abad ke-21 ini, revolusi perindustrian keempat (RI4.0) bermula apabila internet
               telah  menjadi  suatu  keperluan  dalam  kehidupan  harian  termasuk  dalam  pelbagai  bidang,


                                                            59
   63   64   65   66   67   68   69   70   71   72   73