Page 77 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 77

Selain itu, Bridgeland, Bruce dan Hariharan (2013) juga menjalankan kajian ke atas 605
               guru sekolah awam di semua peringkat di seluruh Amerika Syarikat. Laporan kajian tersebut
               mendapati  lebih  87%  guru  bersetuju  bahawa  PSE  memberikan  manfaat  penting  dalam
               menyediakan murid dalam pasaran pekerjaan. 80% guru bersetuju PSE mampu membaiki iklim
               persekolahan. 79% guru bersetuju PSE mampu membaiki pencapaian akademik. Yang lebih
               penting, 95% guru bersetuju PSE adalah kemahiran yang boleh diajar, yang memberi manfaat
               kepada  murid  pelbagai  latar  belakang  sosio-ekonomi.  Maka,  daripada  kajian-kajian  yang
               dinyatakan di atas memberikan justifikasi bahawa PSE memberikan impak yang besar terhadap
               kesejahteraan murid dan pencapaian sekolah untuk jangka panjang.
                       Dalam konteks penerapan PSE di pelbagai negara pula, OECD (2015) mengeluarkan
               laporan  kajian  longitudinal  di  sembilan  buah  negara,  yang  mana  mengesahkan  impak  dan
               kepentingan PSE dalam membantu individu dalam peningkatan domain pendidikan, pasaran
               pekerjaan, dan penghasilan sosial. Negara yang dilaporkan adalah Belgium, Kanada, Korea
               Selatan, New Zealand, Norway, Sweden, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
               Sebelum itu, Fundacion Botin (2013) juga mengeluarkan laporan kualitatif kajian-kajian kes
               berkaitan PSE di negara Argentina, Austria, Israel, Norway dan Afrika Selatan.
                       Namun,  tidak  banyak  kajian  berkaitan  PSE  di  Malaysia.  Walau  bagaimanpun,
               memandangkan  keberkesanan  pendekatan  pembelajaran  sosial  dan  emosional  sudah
               diterjemahkan  di  pelbagai  tempat  di  seluruh  dunia,  justeru,  pendidikan  yang  berteraskan
               kemahiran kemanusiaan seperti pembelajaran sosial dan emosional ini boleh dieksperimenkan,
               diangkat dan diadaptasi sebagai pendekatan baharu bagi melakukan reformasi dalam konteks
               pendidikan kebangsaan, khususnya dalam pendidikan STEM.

               Penerapan Pembelajaran Sosial Dan Emosional Dalam Pendidikan Kebangsaan

                       Dalam konteks penerapan PSE di Malaysia, wajar dilihat isu-isu berkaitan disiplin yang
               menjadi  latar  dan  perkaitan  secara  langsung  dalam  persoalan  pembelajaran  sosial  dan
               emosional ini. Menurut Ismail, Rahim, dan Yusoff (2013), walaupun terdapat banyak kajian
               berkaitan permasalahan disiplin dalam kalangan murid, kajian berkaitan PSE dalam konteks
               Malaysia, dan dalam perspektif falsafah Islam masih berkurangan. Begitu juga kajian berkaitan
               masalah  disiplin,  Lee,  Yeo,  dan  Hadijah  (2015)  menyatakan  bahawa  kajian  berkaitan  isu
               disiplin  banyak  berkisar  tentang  mengenal  pasti  sikap  positif  dan  negatif  murid,  serta
               menentukan tahap permasalahan tersebut, dan faktor yang menyebabkannya. Lee, Yeo, dan
               Hadijah  (2015)  seterusnya  mencadangkan  PSE  sebagai  pendekatan  yang  berpotensi  dalam
               mengurangkan  sikap  negatif,  meningkatkan  sikap  yang  dihasratkan,  serta  mempromosikan
               pembangunan yang positif, termasuk penerapan PSE dalam bilik darjah.
                       Pada 2017, Kementerian Pendidikan Malaysia melaporkan kes salah laku di sekolah,
               secara peratusannya adalah kurang daripada 2%, dengan kes terbanyak melibatkan ponteng
               sekolah dengan melibatkan hanya 1.4% daripada hampir lima juta murid sekolah rendah dan
               menengah di seluruh negara. Walau bagaimanapun, apabila diterjemahkan dalam nilai sebenar
               (individu), jumlahnya ialah 67,053 murid (Jadual 3). Adalah juga didedahkan bahawa terdapat
               sebanyak 402 buah sekolah di seluruh negara mempunyai masalah disiplin dan dadah yang
               mana 311 buah sekolah ‘berdepan masalah disiplin’ dan 91 buah diletakkan dalam kategori
               ‘hotspot’, iaitu sekolah yang ‘cenderung mempunyai masalah disiplin’ (Utusan Online, 2017).








                                                            68
   72   73   74   75   76   77   78   79   80   81   82