Page 74 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 74

Walau bagaimanapun, laporan ini juga memetik bahawa murid yang memilih pakej
               sains tulen menurun secara konsisten daripada 29.35% pada 2012, 28.90% pada 2013, 28.69%
               pada 2014, 23.15% pada 2016 dan terus menurun kepada 23.19% pada 2017. Selain itu, secara
               keseluruhan, hanya 21% sahaja sekolah menengah di seluruh negara yang mencapai nisbah
               dasar 60:40 (Akademi Sains Malaysia, 2015, p. 78). Kemudian, setelah tamat persekolahan
               menengah  di  tingkatan  5,  hanya  40%  daripada  bilangan  murid  aliran  STEM  ini  yang
               meneruskan pengajian di peringkat tinggi (diploma, atau ijazah pertama) dalam bidang sains
               dan berkaitan dengannya, termasuk program dalam bidang teknologi dan vokasional.
                       Data di atas menunjukkan bahawa negara bukan sahaja ketinggalan dalam menyediakan
               sumber  manusia  yang  berkualiti  dan  kalis  kepada  perubahan  RI4.0,  malah  akan  turut
               ketinggalan  daripada  aspek  kuantiti  modal  manusia  yang  dapat  memacu  perubahan  RI4.0
               melalui  pelaburan  besar  dalam  STEM.  Jelas  sekali,  setelah  hampir  50  tahun  dasar  ini
               diperkenalkan (sejak 1970), Malaysia perlu menerima hakikat bahawa polisi dan pendekatan
               STEM selama ini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dan memerlukan paradigma baharu
               bagi  mendepani  cabaran  masa  hadapan.  Suatu  paradigma  yang  meletakkan  fokus  kepada
               keperluan kualiti sumber manusia masa hadapan perlu dikonsepsikan.
                       Daripada satu perspektif kebersediaan industri dalam menyediakan peluang pekerjaan
               pula,  MIDF  Research  (2019)  melaporkan  bahawa  dalam  tempoh  penggal  pertama  2019,
               terdapat 94 ribu peluang pekerjaan yang ada untuk diisi. Walau bagaimanapun, 82.7% adalah
               daripada  sektor  berkemahiran  rendah,  manakala  selebihnya,  hanya  17.3%  adalah  daripada
               sektor  berkemahiran  sederhana  dan  tinggi.  Khazanah  Research  Institute  (2018)  pula
               melaporkan bahawa 50% majikan di Malaysia mengutamakan kemahiran insaniah berbanding
               hanya 27% majikan yang mengutamakan kemahiran teknikal (hard skills). Laporan Khazanah
               Research Institute (2018) juga mendedahkan, daripada aspek pemilihan kerja, daripada 95%
               yang menceburi bidang pekerjaan berkemahiran rendah, sekurang-kurangnya 50% adalah ‘over
               educated’, bermakna bidang pekerjaan berkenaan tidak menepati bidang atau tidak berpadanan
               dengan  peringkat  pengajian  mereka,  malah  melibatkan  sebahagian  besar  graduan  bidang
               STEM. Mismatch  jelasnya  berlaku di  sini, kemahiran teknikal  yang dikuasai  oleh  graduan
               STEM tidak digunakan  secara optimum dalam kerjaya mereka, dan pada masa  yang sama
               jangkaan ke atas mereka adalah kemahiran insaniah pula.
                       Oleh yang demikian, paradigma dasar pendidikan STEM perlu disemak semula dengan
               memberi lebih perhatian kepada pembangunan kemahiran kemanusiaan dengan pendekatan
               pembelajaran yang mengambil kira keselarian permintaan pasaran semasa dan masa hadapan
               dengan keluaran pembekal bakat, yang jelasnya bukan semata-mata mengejar nisbah 60:40.
               Justeru, dalam konteks dasar pendidikan STEM, paradigma pembelajaran sosial dan emosional
               (PSE) boleh dicadangkan untuk diangkat sebagai paradigma pembelajaran yang mana boleh
               menjadi  teras  kepada  reformasi  pendidikan  STEM  bagi  mengatasi  isu  kualiti  dan  kuantiti
               kemenjadian murid untuk masa hadapan.

               Paradigma Pembelajaran Sosial dan Emosional (PSE)

                       World  Economic Forum,  WEF  (2016) telah memberikan suatu  kerangka kemahiran
               penting untuk abad ke-21. Menurutnya, murid memerlukan lebih daripada pembelajaran yang
               bersifat  akademik  dan  tradisional.  Laporan  The  Future  of  Jobs:  Employment,  skills  and
               Workforce Strategy for the Fourth Industrial Revolution (2016) menyenaraikan 10 kemahiran
               penting pada 2020, dengan senarai teratas ialah kemahiran penyelesaian masalah kompleks,
               diikuti pemikiran kritis, dan pemikiran kreatif. Laporan tersebut lantas menekankan tentang
               kepentingan pembelajaran sosial dan emosional (PSE) yang dapat membangunkan kemahiran
               seperti kemahiran kolaboratif, kemahiran komunikasi, dan kemahiran penyelesaian masalah
               bagi menghadapi cabaran RI4.0.


                                                            65
   69   70   71   72   73   74   75   76   77   78   79