Page 75 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 75

Istilah  Pembelajaran  Sosial  dan  Emosional  (PSE)  diperkenalkan  sebagai  kerangka
               konsep bagi menjelaskan keperluan murid dalam konteks keperluan kesihatan mental  yang
               biasanya dikaitkan perlu bermula di sekolah (Elias, Zins, & Weissberg, 1997). Susulan daripada
               perbincangan  tersebut  pasca  1997,  Collaborative  for  Academic,  Social,  and  Emotional
               Learning (CASEL) ditubuhkan untuk mengadvokasikan agar PSE menjadi bahagian penting
               dalam kurikulum di sekolah (Greenberg et al., 2003). Walau bagaimanapun, terdapat banyak
               juga  istilah  yang  mencerminkan  bidang  pembelajaran  sosial  dan  emosional  ini,  seperti
               Pembangunan  Karakter  dan  Sosio-Emotional  (SECD)  (Elias,  2009),  Kemahiran  untuk
               Kejayaan Pembelajaran  Dan Kehidupan (SSLL)  (Flay  & Allred, 2010), Pendidikan Sosial,
               Emosional,  Etika  dan  Akademik  (SEEAE)  (Cohen,  2006,  p.  202),  Pendidikan  Karakter
               (Berkowitz  &  Bier,  2007),  Pendidikan  Moral  (Althof  &  Berkowitz,  2006),  Pembelajaran
               Emosional dan Intelektual (Folsom, 2009, p. 1), dan Pembangunan Positif Belia (Lerner et al.,
               2011).
                       Paradigma pembelajaran sosial dan emosional menekankan kepada model pendidikan
               pencegahan-sokongan  (Supportive-preventive  model).  Paradigma  PSE  ini  dikatakan  lebih
               menyeluruh, proaktif, sistematik, memupuk, dan membebaskan (Lee, Yeo, & Hadijah, 2015).
               Namun, wacana berkaitan PSE tidak bertahan lama pasca 1997 sehinggalah kembali mendapat
               perhatian yang segar semula ketika dikejutkan dengan timbulnya wacana revolusi perindustrian
               keempat  (RI4.0)  semasa  pembentangan  World  Economic  Forum  2016  (World  Economic
               Forum, 2016a). Cabaran RI4.0 dikatakan berbeza daripada revolusi perindustrian sebelumnya
               secara fundamental (Conway, Masters, & Thorold, 2017; Fisk, 2017), yang mana memerlukan
               perubahan bermula peringkat sekolah lagi. Menurut Klauss Schwab, pengasas dan Pengerusi
               Eksekutif WEF, cabaran RI4.0 adalah bagi “mengupayakan dan berpusatkan manusia; bukan
               memecahbelahkan dan menyahkan manusia”  (empowering and human-centred, rather than
               divisive and dehumanizing). Atas rasional tersebut juga, set kemahiran sosial dilaporkan akan
               menjadi  semakin  penting  merentas  industri  pada  masa  hadapan  (World  Economic  Forum,
               2016). CASEL (2017) lantas mengangkat lima nilai sebagai kompetensi dalam pembelajaran
               sosial dan emosional iaitu:
               1.      kesedaran kendiri,
               2.      kesedaran sosial,
               3.      pengurusan diri,
               4.      kemahiran berhubungan, dan
               5.      tanggungjawab dalam membuat keputusan.

                       Walau bagaimanapun, Devereux Student Strengths Assessment, DESSA (2018) pula
               menambah tiga lagi nilai iaitu 1. sikap berorientasikan matlamat, 2. tanggungjawab peribadi,
               dan 3. berfikiran optimistik. OECD (2018) pula memberikan perspektif yang lebih luas dengan
               menggunakan istilah ‘kemahiran’. OECD memetakan struktur kemahiran sosial dan emosional
               kepada lima domain utama (The ‘big five’ domain) berserta satu kemahiran gabungan yang
               membawa kepada 15 kemahiran sosial dan emosional keseluruhannya. Lima domain tersebut
               adalah  1.  Keberhematan(conscientiousness),  2.  kestabilan  emosi,  3.  kebersetujuan,  4.
               keterbukaan dalam mencari pengalaman, dan 5. ekstraversi. Lima domain ini secara jelasnya
               berasaskan kepada “model lima faktor” personaliti (Big Five) (John & Srivastava, 1999). Yang
               membezakan  model  OECD  dan  model  Big  Five  adalah  domain  ‘kestabilan  emosi’
               menggantikan ‘neuroticism’. Model OECD ini akan digunakan dalam kajian penandaarasan
               antarabangsa terbaharu  mereka iaitu  Study on Social and Emotional  Skills  (SSES)  bermula
               tahun 2019.
                       Secara  umumnya,  terdapat  empat  cara  bagaimana  pendekatan  penerapan  PSE  di
               sekolah,  iaitu  (1)  menyepadukan  PSE  dalam  amalan  pengajaran  bagi  mewujudkan  iklim
               pembelajaran  yang  menyokong  PSE;  (2)  menyepadukan  PSE  dalam  kurikulum  bagi


                                                            66
   70   71   72   73   74   75   76   77   78   79   80