Page 115 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 115

kesedaran murid dan orang awam berkaitan STEM melalui kempen kebangsaan yang diadakan
               (KPM, 2013).
                      Di  antara  dasar  yang  telah  diperkenalkan  oleh  KPM  ialah  Dasar  60;40
               Sains/Tenikal:Sastera dalam pendidikan sejak tahun 1967 dan mula dilaksanakan pada tahun 1970
               (PPPM  2013-2025,  KPM  2015).  Dasar  ini  bertujuan  untuk  menambah  nisbah  murid  yang
               mempunyai pendidikan STEM yang signifikan berbanding murid yang memberi tumpuan kepada
               sastera. Pendidikan STEM adalah pendidikan yang berasaskan kepada konsep mendidik murid
               dalam empat bidang; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan mengintegrasikan
               dan  mengaplikasikannya  dalam  konteks  dunia  sebenar  (KPM,  2016).  Sebagai  contoh,  sistem
               pendidikan  di  Amerika  Syarikat  telah  memperkenalkan  pendidikan  STEM  bertujuan  untuk
               menanam kemahiran pemikiran komputasional dalam kalangan murid agar dapat menggunakan
               pendekatan  saintifik  untuk  menyelesaikan  masalah  yang  autentik  dalam  kehidupan.
               Pelaksanaannya bertujuan mendidik generasi muda supaya dapat menceburkan diri dalam bidang
               inovasi  dan  membentuk  kemahiran  dalam  kerja  yang  berorientasikan  kemahiran  STEM.
               Menyedari prestasi PISA Amerika Syarikat jatuh jauh lebih rendah daripada negara Asia seperti
               Singapura, Hong Kong dan Korea Kementerian Pendidikan Amerika Syarikat telah merancang
               dan melaksanakan pelan lima tahun bagi mengiatkan lagi pendidikan STEM (National Science
               and Technology Council, 2013). Oleh yang demikian, kerajaan Malaysia melalui KPM juga telah
               mengambil langkah memperkukuhkan pendidikan STEM bermula dari peringkat rendah seperti
               yang  dinyatakan  dalam  PPPM  2013-2025  bagi  memastikan  modal  insan  yang  dilahirkan
               memenuhi keperluan untuk bersaing di peringkat global.

                                                  LATAR BELAKANG

                      Pelaksanaan  STEM  di  prasekolah  mula  diberi  penekanan  dalam  Kurikulum  Standard
               Prasekolah  Kebangsaan  (Semakan  2017).  Bagi  menyokong  pelaksanaan  ini,  KPM  melalui
               Bahagian  Pembangunan  Kurikulum  telah  menghasilkan  satu  Modul  Pelaksanaan  STEM  bagi
               membantu guru melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM dengan lebih baik dan
               berkesan. Sains Awal dan Matematik Awal telah mula diperkenalkan dalam kurikulum prasekolah
               kebangsaan  (2003)  dan  selanjutnya  diberikan  penambahbaikan  dalam  Kurikulum  Standard
               Prasekolah Kebangsaan (2010) dan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017)
               (KSPK, BPK, 2017). Namun demikian pengintegrasian keempat-empat bidang (STEM) tersebut
               tidak dilaksanakan seperti yang dihasratkan oleh konsep STEM sebagai satu PdP. Berdasarkan
               laporan        Kajian        Pelaksanaan        Sains        Awal         di       prasekolah
               (KPM,  2015),  guru  dilihat  masih  tidak  mampu  melaksanakan  PdP  Sains  Awal  seperti  yang
               disarankan  oleh  kurikulum.  Guru  juga  dilihat  mempunyai  tahap  pengetahuan  kandungan,
               pengetahuan  pedagogi  dan  kemahiran  melaksana  yang  sederhana  untuk  melaksanakan  PdP
               STEM.  Perkara  tersebut  juga  dinyatakan  oleh  Shulman  (1986)  dalam  kajiannya  menyatakan
               bahawa keupayaan seorang guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran dengan berkesan adalah
               bergantung  kepada  pengalaman,  pengetahuan  isi  kandungan,  dan  kemahiran  pedagogi  mata
               pelajaran  tersebut.  Di  samping  itu,  terdapat  faktor-faktor  lain  yang  menyekat  guru  untuk
               melaksanakan PdP Sains Awal dan Matematik Awal dengan baik seperti tekanan dari ibu bapa
               yang mahukan murid menguasai 3M, tekanan dari program  LINUS menyebabkan guru fokus
               kepada  kemahiran  3M  dan  kekurangan  sumber  idea  untuk  melaksanakan  PdP.  (Kajian
               Pelaksanaan Awal Sains, KPM, 2015).
                      Dalam kajian yang dilakukan oleh Syariza (2017) guru menghadapi beberapa kekangan
               dalam melaksanakan PdP yang berasaskan sains di prasekolah. Di antara faktor yang dinyatakan

                                                             105
   110   111   112   113   114   115   116   117   118   119   120