Page 117 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 117
kejuruteraan, dan kemahiran pemikiran aras tinggi. STEM juga dapat membantu pemprosesan
pengetahuan secara berkesinambungan dalam konteks nyata, lebih produktif dalam meningkatkan
minat dalam pelajaran, serta dapat membantu untuk mengembangkan keupayaan untuk mereka
bentuk projek untuk keperluan pembelajaran.
Pengintegrasian STEM ke dalam pendidikan awal kanak-kanak melibatkan bukan sahaja
menyediakan kanak-kanak dengan pengalaman dan kandungan yang bermakna yang
menggalakkan pembelajaran dalam sains semata-mata malahan pemikiran logik matematik dan
kejuruteraan serta pengalaman pembelajaran melalui refleksi, perwakilan, dan dokumentasi.
Proses siasatan saintifik untuk kanak-kanak yang memberi tumpuan kepada penyiasatan akan
menggalakkan dan mendorong kanak-kanak untuk bertanya, memerhatikan, mengukur, menyusun
dan mengklasifikasikan, meramalkan, membuat kesimpulan, berkomunikasi dan
mendokumentasikan hasil kerja mereka (Katz, 2010).
Kanak-kanak secara umumnya belajar sesuatu melalui deria iaitu penglihatan,
pendengaran, sentuhan dan pergerakan serta pengamatan. Melalui pengalaman yang diperoleh,
mereka membina kemahiran memahami sesuatu konsep abstrak, memanipulasi simbol, berfikir
secara logik dan mula membuat generalisasi. Kemahiran-kemahiran ini berkembang dengan
secara perlahan dan berperingkat dan kebanyakannya kekal sepanjang hayat bergantung kepada
contoh yang konkrit untuk memahami sesuatu idea yang baharu. Dalam konteks pembelajaran
STEM kanak-kanak prasekolah, pengalaman konkrit adalah paling berkesan dalam pembelajaran
apabila ia berlaku dalam konteks beberapa struktur konsep yang releven. Kebanyakan masalah
yang dihadapi oleh ramai murid adalah untuk memahami sesuatu yang abstrak sering kali
dibayangi oleh kemahiran mereka mengingat dan menghafal istilah teknikal yang tidak pernah
didengar dan difahami oleh mereka. (Marzita Puteh, 2012)
Selanjutnya, kajian Marzita (2012) juga menyatakan Sains, Matematik dan Teknologi
didefinisikan sebagai apa dan bagaimana mereka lakukan kerana ianya bergantung kepada
dapatan dan hasil yang diperolehi. Untuk memahaminya sebagai cara-cara berfikir melakukan
sesuatu, dan juga sebagai bidang ilmu, memerlukan murid mempunyai pengalaman dengan jenis-
jenis pemikiran dan perlakuan yang tipikal. Perkara tersebut seiiring dengan prinsip dan ciri PdP
STEM yang diterapkan pada awal pendidikan di prasekolah.
Kajian yang dilaksanakan oleh UPSI telah membuktikan bahawa kanak-kanak dalam
linkungan umur 3-4 tahun berupaya mempelajari STEM jika diberi bimbingan dengan cara dan
kaedah yang betul. Kanak-kanak amat teruja untuk belajar mengenai STEM, maka dianggarkan
pelaksanaan STEM di peringkat prasekolah dan sekolah rendah akan lebih menarik dan
memberikan keseronokan belajar kepada murid, terutama belajar Sains dan Matematik dalam
konteks aplikasi sebenar (Mazlini, 2016).
ELEMEN STEM DALAM KURIKULUM
Dalam melaksanakan PdP STEM di prasekolah, tiga elemen utama diberi penekanan
dalam kurikulum (KPM, 2016). Berikut ialah elemen yang dinyatakan di atas:
Pengetahuan STEM
Pengetahuan STEM didefiniskan sebagai idea, konsep, prinsip, teori dan pemahaman
dalam bidang STEM yang terkandung dalam kurikulum. Kurikulum dirancang dan dibangunkan
bertujuan untuk memberi murid pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM yang tinggi melalui
aktiviti yang dirancang oleh guru di dalam dan di luar kelas prasekolah (KPM, 2016).
107

