Page 35 - Jurnal Kurikulum BPK 2018
P. 35

dalam bentuk terkininya dengan tiga modul, berbanding maklumat dan perspektif  baru  yang
               didapati hasil penyelidikan pendidikan.  Oleh yang demikian, kajian sebegini sangat wajar dan
               tepat pada masanya.
                      Taksonomi  Bloom  diterbitkan  pada  1956.  Taksonomi  Bloom  asal  merangkumi  enam
               kategori utama pemikiran iaitu: Pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian.
               Ia bertujuan menyediakan sistem pengelasan matlamat-matlamat  pendidikan untuk  membantu
               guru-guru,  pentadbir,  pakar-pakar  profesional  dan  penyelidik  untuk  membincangkan
               permasalahan kurikulum dan penilaian pendidikan dengan lebih jitu (Amer, 2006). Taksonomi
               Bloom  telah  disemak  semula  pada  2001  untuk  memperbaiki  kelemahan-kelemahannya  dan
               mengambilkira  perkembangan-perkembangan  bidang  pendidikan  dan  psikologi  yang  berlaku
               pada separuh kedua abad ke 20. Dalam bentuk baru ini, nama kategori pemikiran diubah dan
               kedudukan dua kategori teratas bertukar tempat (Clark, 2010). Akan tetapi, perubahan paling
               ketara dalam Taksonomi Bloom baru ini adalah suatu objektif pengajaran dan pembelajaran kini
               boleh dikelaskan berdasarkan bukan satu tetapi dua dimensi. Dua dimensi itu adalah dimensi
               proses kognitif dan dimensi pengetahuan,  yang menggantikan kategori jenis pemikiran dalam
               Taksonomi  Bloom  asal.  Kerangka  dua  dimensi  Taksonomi  Bloom  yang  disemak  semula  ini
               membentuk asas teori kajian ini.
                      Kajian  ini  dijalankan  untuk  mencirikan  huraian  sukatan  pelajaran  tajuk-tajuk  kimia
               organik matrikulasi berdasarkan analisis dua dimensi Taksonomi Bloom dan membincangkan
               implikasi dan aplikasi dapatan terhadap pengajaran dan pembelajaran kursus kimia berkenaan.
               Secara lebih khusus kajian ini dijalankan untuk:
                  i.   Menganalisa huraian sukatan pelajaran berdasarkan dimensi proses kognitif.
                 ii.   Menganalisa huraian sukatan pelajaran berdasarkan dimensi pengetahuan.
                iii.   Mencirikan huraian sukatan pelajaran berdasarkan jadual taksonomi.
                iv.   Memberi  saranan  untuk  menambahbaik  pengajaran  dan  pembelajaran  berdasarkan
                      pencirian huraian sukatan pelajaran.
                      Kajian  ini  melihat  semula  pengajaran  dan  pembelajaran  kimia  organik  berdasarkan
               analisis Huraian Sukatan Pelajaran semata-mata. Oleh yang demikian, dapatan kajian ini dibatasi
               andaian  pengajaran  dan  pembelajaran  yang  dilaksanakan  adalah  menurut  Huraian  Sukatan
               Pelajaran baik dari segi kandungan, turutan tajuk dan agihan masa sepenuhnya. Huraian Sukatan
               Pelajaran adalah panduan untuk guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran
               yang  disampaikan  kepada  pelajar  dipengaruhi  pelbagai  faktor  seperti  bagaimana  guru
               mentafsirkan  huraian  sukatan  pelajaran  itu.  Ini  bermaksud  sebarang  perbezaan  di  antara
               pengajaran  dan  pembelajaran  yang  dirancang  (menurut  Huraian  Sukatan  Pelajaran)  dan
               pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sebenarnya adalah di luar skop kajian ini.

                                                     METODOLOGI

                      Kajian ini adalah suatu kajian kualitatif berasaskan analisis dokumen. Dalam kajian ini,
               pernyataan-pernyataan hasil pembelajaran dalam huraian sukatan pelajaran dianalisa berdasarkan
               dimensi pengetahuan dan proses kognitif. Analisa ini melibatkan pembinaan dua jadual iaitu:
               Jadual Hasil Pembelajaran Unit (untuk setiap tajuk) dan Jadual Taksonomi (untuk setiap tajuk dan
               keseluruhan  tajuk-tajuk).  Secara  lebih  terperinci  langkah-langkah  analisis  dokumen  Huraian
               Sukatan Pelajaran adalah seperti berikut:
                  i.   Setiap pernyataan hasil  pembelajaran dalam huraian sukatan pembelajaran dipecahkan
                      kepada hasil-hasil pembelajaran unit. Ini bermaksud hasil pembelajaran yang paling asas
                      dalam pernyataan dikeluarkan dan disenaraikan.

                                                             25
   30   31   32   33   34   35   36   37   38   39   40