Page 119 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 119
berkesan. Lovorn (2017) dalam kajiannya juga menyatakan bahawa tempoh pengalaman
mengajar guru sepanjang perkhidmatan mereka adalah mempengaruhi keberkesanan sesuatu
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikkan.
Di samping itu, sikap responden yang tidak mengambil inisiatif untuk mengetahui
kandungan dan pelaksanaan kurikulum baru dari mana-mana pihak juga menyebabkan
wujudnya beberapa kelemahan yang ketara dalam pengendalian proses PdP. Responden yang
tidak bersedia untuk mengetahui perkara-perkara yang lain seperti profil murid, EMK, Strategi
PdP dan sebagainya terdapat dalam DSKP selain daripada standard pembelajaran, tidak dapat
menjalankan aktiviti PdP yang berkesan. Jika guru menerima sesuatu perubahan maka mereka
akan meningkatkan pengetahuan tentang pelaksanaannya. Siti Hawa (1986) juga menegaskan
bahawa sesuatu perubahan kurikulum berjaya jika guru bersedia menerima idea baru dan
mampu melaksanakannya di bilik darjah.
Dari segi pelaksanaan aspek-aspek yang terkandung dalam kurikulum Bahasa Tamil,
walaupun responden peka terhadap kepentingan penerapan EMK dan KBAT tetapi terdapat
kelekaan dalam pelaksanaan dalam bilik darjah. Perkara ini berlaku disebabkan guru tidak
sedar tentang kepentingan penerapan elemen EMK dan KBAT. Mereka tidak menyedari
elemen-elemen ini harus diterapkan menerusi aktiviti PdP. Sikap guru yang tidak mengambil
berat tentang penerapan elemen-elemen ini menyebabkan mereka tidak memberi keutamaan
kepada elemen-elemen ini sewaktu menjalankan aktiviti PdP. Malah mereka hanya memberi
keutamaan kepada standard pembelajaran yang diajar. Ini disokong oleh kenyataan Zamri
(2012) dalam kajiannya menyatakan bahawa guru tidak mengambil kira terhadap kemahiran
berfikir dan masih menggunakan kaedah tradisional serta lebih menumpukan kepada usaha
untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Selain itu, kekurangan pemantauan pihak pentadbir
tentang penerapan EMK dan KBAT sewaktu pelaksanaan aktiviti PdP juga mengakibatkan
guru tidak mengambil berat untuk menerap elemen-elemen ini dalam aktiviti PdP. Menurut
Raedah (2013), terdapat pentadbir tidak mencerap sepenuhnya sepanjang tempoh waktu
pengajaran guru dan tidak melihat hasil PdP guru menyebabkan kelemahan PdP guru tidak
dapat dinilai. Ini menyebabkan guru tidak mementingkan elemen-elemen yang harus
diterapakan sewaktu aktiviti PdP. Maka, wujud situasi pengabaian elemen-elemen yang
ditekankan dalam kurikulum sesuatu mata pelajaran sewaktu pelaksanaan aktiviti PdP di bilik
darjah. Jamilah dan Yusof (2011) juga menjelaskan bahawa kejayaan sesebuah sekolah adalah
bergantung kepada kepimpinan pihak pentadbir dan sentiasa perlu memantau guru-guru di
bawah penyeliaan supaya melaksanakan tugas yang diberi dengan sempurna.
Dari segi kebolehan melaksanakan pentaksiran dalam bilik darjah, semua responden
berupaya melaksanakan pentaksiran bilik darjah kecuali 2 orang responden. Didapati bahawa
kedua-dua responden ini tidak mentaksir murid semasa proses PdP. Perancangan dan
pelaksanaan aktiviti yang tidak berfokus tidak memberi peluang kepada responden untuk
mengenal pasti murid yang menguasai standard pembelajaran.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, dapatan kajian ini membantu pengkaji mengenal pasti kelebihan dan
kelemahan responden dalam melaksanakan kurikulum baru ini. Guru yang mempunyai
pengetahuan dan pemahaman yang jelas tentang kandungan DSKP KSSR (Semakan 2017)
Bahasa Tamil SJKT Tahun 3 dan DSKP KSSR (Semakan 2017) Bahasa Tamil SK Tahun 3
berupaya merancang dan menjalankan aktiviti PdP mengikut kehendak standard pembelajaran.
Mereka juga dapat menerapkan unsur-unsur yang ditekankan dalam dokumen tersebut.
Pendedahan tentang KSSR (Semakan 2017) bagi mata pelajaran Bahasa Tamil juga membantu
guru menjalankan PdP seperti yang dihasratkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum
(BPK). Namun, terdapat ada juga sebilangan guru yang masih kurang memahami kandungan
109

