Page 124 - Jurnal Kurikulum BPK 2020
P. 124

penggunaan nombor integer negatif pada hari ini, seperti kalkulus, trigonometri dan algebra
               khususnya (Ismail & Muhammad Asyraf, 2010; Sadler, 2012; Schwarz et al., 1993).
                       Dalam konteks pembelajaran nombor integer negatif di sekolah, kajian-kajian lepas
               mendapati ramai murid memang menghadapi masalah dalam pembelajaran nombor integer
               negatif kerana miskonsepsi dalam empat operasi asas yang melibatkan nombor integer negatif
               sering kali berlaku dalam kalangan murid (Elango, 2014; Marlina & Nurhidayah ,2011;  Sadler,
               2012).  Di  Malaysia,  berdasarkan  laporan  yang  dikeluarkan  oleh  Lembaga  Peperiksaan
               Malaysia  (1993,  2002,  2003a,  2003b,  2007,  2010,  2012,  2014),  ramai  calon  Penilaian
               Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu memperkukuhkan lagi
               konsep asas dan kemahiran asas matematik terutamanya dalam mengendalikan operasi tambah,
               tolak, bahagi dan darab untuk nombor positif atau negatif. Dengan kata lain, ramai murid yang
               telah menamatkan pelajaran menengah rendah dan menengah atas masih  menghadapi masalah
               dalam konsep asas operasi tambah, tolak, bahagi dan darab dalam nombor integer positif atau
               negatif, padahal topik  ini telahpun dipelajari semasa di tingkatan satu dalam topik ke-6, Integer
               (Kurikulum  Bersepadu  Sekolah  Menengah,  KBSM)  atau  topik  pertama,  Nombor  Nisbah
               (Kurikulum  Standard  Sekolah  Menengah,  KSSM).  Kesannya  akan  membawa  impak  yang
               sangat  besar  apabila  murid-murid    melanjutkan    pelajaran  ke  tingkatan  dua  dan  tiga.  Ini
               disebabkan  terdapat    lebih  kurang  50%  daripada  kandungan  sukatan  pelajaran  matematik
               sekolah menengah memerlukan penguasaan dan pengaplikasian konsep nombor integer yang
               mantap. Oleh itu, penguasaan konsep asas nombor integer negatif perlu dititik beratkan semasa
               murid-murid berada di tingkatan satu, memastikan bahawa masalah miskonsepsi tidak berlaku
               dalam kalangan murid semasa melanjutkan tingkatan seterusnya.
                       Justeru,  para  pendidik  perlu  memberi  fokus  dalam  pengajaran  dan  pembelajaran
               nombor integer negatif supaya murid dapat menguasai konsep ini dengan sepenuhnya. Dengan
               itu, para guru perlu menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik dan mudah difahami bagi
               membantu murid tidak menghadapi miskonsepsi dalam nombor integer negatif. Masalahnya,
               sedangkan  faktor  jantina  sering  menjadi  fokus  utama  dalam  penyelidikan  pendidikan
               matematik sekolah supaya kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan boleh
               dilaksanakan  kepada  jantina  yang  berbeza.  Adakah  pengajaran  dan  pembelajaran  konsep
               nombor integer negatif perlunya menyediakan aktiviti yang berbeza terhadap murid lelaki dan
               murid perempuan? Oleh itu, fokus utama dalam kajian ini adalah untuk memastikan kewujudan
               perbezaan  antara  pencapaian  murid  lelaki  dan  murid  perempuan  dalam  operasi  penolakan
               nombor integer negatif supaya memudahkan para guru dalam perancangan dan penyediaan
               pengajaran konsep ini.
                       Ekoran itu, isu tentang perbezaan pencapaian matematik antara jantina memang telah
               banyak  dikaji  sama  ada  di  luar  atau  di  dalam  negeri  (Jabor,  Kenneth,  Krissana,  Yahya  &
               Safarin, 2011; Lydia, Mark & Insu, 2008; Sabahat, 2015; Tang, 2009; Zahid & Salahuddin,
               2015; Zaliza, Saemah, Roselan & Jamil, 2005). Walau bagaimanapun, sehingga kini pengkaji
               tidak menjumpai sebarang kajian mengkaji tentang perbezaan pencapaian dalam topik integer
               negatif bagi murid lelaki dengan perempuan, padahal topik ini menjadi asas yang amat penting
               untuk penguasaan topik-topik lain dalam sukatan matematik sekolah menengah. Dalam hasil
               kajian  Jabor  et  al.  (2011),  Sabahat  (2015),  Tang  (2009),  dan  Zaliza  et  al.  (2005)  telah
               menunjukkan bahawa pencapaian matematik bagi murid perempuan lebih tinggi berbanding
               dengan murid  lelaki.  Manakala hasil kajian  Lydia et  al.  (2008) dan  Zahid  dan Salahuddin
               (2015)  pula  menunjukkan  bahawa  pencapaian  matematik  bagi  murid  lelaki  lebih  tinggi
               berbanding  dengan  murid  perempuan.  Hal  ini  dapat  disimpulkan  bahawa  sememangnya
               terdapat perbezaan yang signifikan antara pencapaian matematik antara murid lelaki dengan
               murid  perempuan  berdasarkan  hasil  dapatan  kajian  pengkaji-pengkaji  lepas,  tetapi
               kelebihannya adalah murid lelaki atau perempuan perlu bergantung kepada topik yang dikaji
               dan sampel-sampel yang dipilih. Oleh itu, perbezaan antara pencapaian murid lelaki dengan
                                                           114
   119   120   121   122   123   124   125   126   127   128   129